FAUZIAH Nawi. FOTO Arkib NSTP
FAUZIAH Nawi. FOTO Arkib NSTP
Ramlah Zainal

Kuala Lumpur: "Nak mengata orang lain tetapi guna gambar saya. Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku dan saya sudah buat laporan akaun palsu terbabit," kata bintang veteran, Datuk Fauziah Nawi, 70. 

Fauziah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pemilik akaun X yang dulunya dikenali Twitter menggunakan nama Kak Jah Sungai Dua yang menyamar dan menggunakan gambarnya.

Menurut Fauziah, dia memang memiliki satu akaun Twitter tetapi kurang aktif berbanding akaun media sosialnya yang lain.

"Saya ingin maklumkan, akaun Twitter, Kak Jah Sungai Dua itu bukan akaun saya.

"Saya juga jarang baca isu yang tular di media sosial termasuk isu yang mengaitkan pasangan selebriti Mawi dan Ekin seperti dikongsikan pemilik akaun terbabit," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bagaimanapun, kata pelakon disegani itu, dia berharap pengikutnya tidak terpedaya dengan kewujudan beberapa akaun media sosial palsu yang menyamar dan menggunakan nama serta gambarnya di media sosial ketika ini.

Menurut Fauziah, dia hanya memiliki satu akaun Facebook, dua akaun di aplikasi TikTok dan satu akaun di laman Twitter.

"Saya hanya aktif di laman Facebook kerana suka menulis mengenai bidang seni. Sebelum ini, ada pemilik akaun palsu yang menyamar menjadi saya di Facebook tetapi saya sudah buat laporan dan akaun itu sudah tidak wujud.

"Saya juga dapat tahu mengenai akaun palsu yang guna gambar saya di TikTok tetapi saya percaya peminat boleh bezakan itu akaun saya atau akaun palsu," katanya.

Mengenai akaun di media sosial, kata Fauziah, dia juga menggunakan laman sosial untuk berkongsi perkembangan karier seni.

"Saya memang tidak suka ambil tahu atau bercerita hal orang lain dan lebih kepada menulis mengenai diri sendiri.

"Ada juga saya menulis keluhan rakan artis yang mengadu tiada 'job' di Facebook kerana ingin membantu mereka.

"Pada masa sama, saya juga menggunakan media sosial untuk mempromosikan rakan artis berniaga dan ada juga orang yang saya tidak kenal pun saya bantu," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2023 @ 12:26 PM