JENKINS Annapuranee. Gambar kanan, poster mengenai wanita warga Australia yang dilaporkan hilang sejak 13 Disember lalu. FOTO Ihsan PDRM
JENKINS Annapuranee. Gambar kanan, poster mengenai wanita warga Australia yang dilaporkan hilang sejak 13 Disember lalu. FOTO Ihsan PDRM
Rudy Syareme Sheriffudin

Georgetown: Kehilangan wanita warga Australia belum terungkai apabila gagal ditemui sejak keluar dari hotel penginapannya, 13 Disember tahun lalu.

Dalam kejadian jam 3 petang, Jenkins Annapuranee, 65, keluar dari bilik hotel untuk ke klinik gigi di Pulau Tikus.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, berdasarkan siasatan, selepas selesai rawatan, wanita itu meminta pekerja klinik memesan perkhidmatan Uber untuk ke rumah kebajikan Little Sister of Poor, Batu Lanchang dekat Air Itam.

Beliau berkata, ketika dalam perjalanan, wanita itu meminta pemandu Uber memberhentikannya di lampu isyarat di Jalan Scotland. Bagaimanapun, demi keselamatan, pemandu terbabit memberhentikan kenderaan dalam kawasan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ramakrisha.

“Selepas itu, mangsa hilang hingga hari ini dan suaminya membuat laporan polis.

“Mangsa berbadan sederhana, tinggi 165 sentimeter, berat 75 kilogam serta berkulit gelap dan rambut hitam,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang ada maklumat diminta menghubungi Penolong Pengawai Penyiasat Balai Polis Jalan Patani di talian 04-2181884 atau 019-4117572.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 3:50 AM