PUNCA kematian Jenkins Annapuranee yang mayatnya ditemui di tapak pembinaan pada 24 Jun 2020 masih tidak dapat ditentukan.
PUNCA kematian Jenkins Annapuranee yang mayatnya ditemui di tapak pembinaan pada 24 Jun 2020 masih tidak dapat ditentukan.
BERNAMA

Georgetown: Mahkamah Koroner di sini hari ini memberikan keputusan terbuka berhubung inkues bagi menentukan punca kematian warga Australia, Annapuranee Jenkins selepas mendapati punca kematian wanita itu tidak dapat ditentukan.

Koroner Norsalha Hamzah ketika mengumumkan keputusannya berkata, Mahkamah Koroner mendapati keterangan yang ada tidak mencukupi atau tidak mencapai tahap yang dikehendaki untuk merekodkan lain-lain keputusan.

Norsalha berkata, berdasarkan keterangan yang dikemukakan kepada Mahkamah Koroner, beliau tidak dapat menentukan punca kematian, sifat kematian, atau mencari sebarang unsur jenayah berkaitan kematian Jenkins.

"Walaupun laporan bedah siasat mengesahkan mayat yang ditemui adalah mayat Jenkins, ia tidak lengkap dan punca kematian tidak dapat ditentukan," katanya.

Norsalha membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan pelbagai pihak sepanjang prosiding inkues yang bermula 28 Mac tahun lalu.

Jenkins, yang dilahirkan di Parit Buntar, Perak bercuti di Pulau Pinang pada Disember 2017 bersama suaminya, Frank Jenkins ketika dilaporkan hilang.

Mayatnya ditemui pada 24 Jun 2020 di tapak pembinaan berhampiran dengan lokasi terakhir dia dilihat masih hidup.

Di luar mahkamah, anak lelakinya, Greg Jenkins berkata, beliau dan keluarganya terkejut dengan keputusan itu.

"Kami berharap Koroner akan melihat semuanya yang akan membawa kepada siasatan semula untuk mencari punca kematian. Buat masa ini, saya akan berbincang dengan kakak saya mengenai tindakan seterusnya. Kami tidak akan berhenti mencari keadilan untuk ibu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 7:05 PM