Kuala Lumpur: Kapten Piala Uber Goh Liu Ying bersedia untuk digandingkan dengan sesiapa saja jika keputusan itu yang terbaik buat pasukan di kejohanan berkenaan, berlangsung dari 15 hingga 22 Mei ini.

Liu Ying yang juga layak beraksi di Sukan Olimpik Rio bersama pasangannya, Chan Peng Soon (beregu campuran) mengakui akan mengikut segala perancangan dan arahan jurulatih di Kunshan, China nanti.

“Mengenai diturunkan atau digandingkan dengan mana-mana pemain, saya rasa yang berhak untuk menentukannya adalah barisan jurulatih. Saya hanya akan ikut arahan mereka,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Kelmarin, bekas jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak berpendapat pertukaran pasangan perlu dilakukan dalam skuad Piala Uber untuk menguatkan gandingan beregu pertama dan kedua di kejohanan berkenaan.

“Sekarang masing-masing mempunyai pasangan dan semua pemain juga boleh digandingkan dengan sesiapa saja. Tidak kisah digandingkan dengan mana-mana pemain saya akan berikan yang terbaik dan sentiasa menyokong pasukan jika tidak beraksi,” kata pemain kelahiran Melaka itu.

Kali terakhir Liu Ying beraksi dalam acara berpasukan pada Mei tahun lalu dalam kejohanan Piala Sudirman, manakala bagi Piala Uber 2014 dia tidak disenaraikan kerana menjalani pembedahan lutut.

Selain Liu Ying turut berada dalam skuad Piala Uber ialah Tee Jing Yi, Goh Jin Wei, Ho Yen Mei, Soniia Cheah (perseorangan wanita), Vivian Hoo-Woon Khe Wei, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Amelia Alicia Anscelly (beregu wanita).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2016 @ 10:22 AM