WANITA warga Australia, Anna Jenkins yang dilaporkan hilang pada 13 Disember 2017. FOTO ihsan polis
WANITA warga Australia, Anna Jenkins yang dilaporkan hilang pada 13 Disember 2017. FOTO ihsan polis
Nur Izzati Mohamad


POLIS mengesahkan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan ke atas tulang manusia yang ditemui di kawasan hutan berhampiran Jalan Batu Gantung, Georgetown, pada 24 Jun lalu adalah milik wanita warga Australia, Anna Jenkins.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, polis menghantar tulang berkenaan ke Jabatan Kimia Petaling Jaya untuk dianalisa termasuk memanggil ahli keluarga mangsa melakukan ujian DNA.

"Anak lelaki kepada orang hilang itu hadir ke Pulau Pinang untuk tindakan ujian DNA dan pada 7 Ogos lalu, polis menerima keputusan ujian DNA yang mana padanan didapati sama.

"Pasukan Forensik di Bukit Aman akan menjalankan siasatan secara terperinci dan mengesan barang kes yang mungkin ada di lokasi kejadian esok untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, hari ini.

Pada 13 Disember 2017, Anna, 65, dikatakan keluar dari bilik hotelnya untuk ke klinik gigi di Pulau Tikus dan meminta pekerja memesan perkhidmatan Uber untuk ke sebuah rumah kebajikan di Batu Lanchang selepas selesai rawatan.

Bagaimanapun, suaminya membuat laporan polis selepas mendapati wanita itu masih tidak pulang dan hilang begitu saja.

Media Australia sebelum ini melaporkan dengan mendakwa bahawa polis negara ini menghentikan siasatan berhubung kes kehilangan wanita terbabit.

Dakwaan itu disangkal Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong yang memaklumkan sebarang petunjuk yang diperoleh akan digunakan sebaik mungkin bagi merungkai misteri kehilangan wanita itu.

Pada 24 Jun lalu, seorang lelaki yang melakukan kerja-kerja landskap menanam pokok di kawasan hutan terbabit menemui tulang serta longgokan pakaian dan barangan peribadi sebelum melaporkan kepada polis keesokan harinya.

Tulang dan longgokan barang peribadi itu ditemui berselerak kira-kira tiga kilometer dari lokasi terakhir wanita itu dilaporkan berada iaitu di Jalan Scotland.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 1:25 PM