LAPORAN portal berita Harian Metro pada 6 Julai lalu.
LAPORAN portal berita Harian Metro pada 6 Julai lalu.
BERNAMA

AHLI keluarga wanita warga Australia Annapuranee Jenkins yang dilaporkan hilang di Pulau Pinang pada 2017, bersedia menghantar sampel asid deoksiribonukleik (DNA) kepada polis bagi ujian perbandingan bertujuan mendapatkan maklumat lanjut mengenai penemuan tulang manusia di kawasan hutan berhampiran Jalan Batu Gantung, Georgetown, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, setakat ini, pihaknya belum dapat mengesahkan sama ada tulang pinggul manusia dijumpai itu mempunyai kaitan dengan Kes Orang Hilang (warganegara asing) pada 2017 di daerah Timur Laut itu.

Beliau berkata, pihaknya akan terus berurusan dengan Kedutaan Australia di Malaysia untuk mendapatkan sampel DNA keluarga wanita itu bagi tujuan mengenal pasti tulang berkenaan.

Menurutnya, semalam polis menerima maklum balas daripada keluarga wanita itu yang bersetuju untuk menghantarnya dari Australia.

"Bagi tujuan perbandingan, Jabatan Kimia Pulau Pinang bersetuju untuk melaksanakannya dengan segera sebaik sahaja mendapat sampel itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat tempat penemuan tulang, longgokan pakaian serta barangan berkenaan di Georgetown, hari ini.

Tulang, semua longgokan pakaian dan barangan itu dijumpai seorang lelaki yang melakukan kerja landskap menanam pokok di kawasan hutan berhampiran pada 4 petang, 24 Jun lalu.

Soffian berkata, tulang dan longgokan barang peribadi itu ditemukan dalam keadaan berselerak kira-kira tiga kilometer dari lokasi terakhir wanita itu dilaporkan berada iaitu di Jalan Scotland,.

Menurutnya, tulang itu ditemui di atas bukit iaitu 15 meter dari barangan peribadi ditemui di atas tanah merah di kawasan mahu dijadikan kawasan landskap, manakala baju pula kira-kira lima meter dari barangan peribadi.

"Siasatan mendapati, kawasan penemuan tulang dan barangan itu adalah kawasan hutan pada 2017 ketika wsnita itu dilaporkan hilang dan kini ia dibangunkan menjadi kawasan perumahan.

"Kami akan terus menyiasat bagaimana barang dan tulang berkenaan boleh berada di situ," katanya.

Pada masa sama, Soffian berkata, polis tidak pernah menghentikan siasatan kes Annapuranee Jenkins seperti dakwaan media di Australia dan sebarang petunjuk yang diperoleh akan digunakan sebaik mungkin bagi merungkai misteri kehilangan wanita itu.

Beliau berkata, pihaknya akan mengambil keterangan daripada beberapa individu termasuk pengurus dan pekerja di tapak projek itu serta memanggil semula pemandu Uber yang membawa wanita itu sebelum kehilangannya, bagi membantu siasatan.

Pada 13 Disember 2017, Jenkins, 65, dikatakan keluar dari bilik hotelnya untuk ke klinik gigi di Pulau Tikus dan meminta pekerja memesan perkhidmatan Uber untuk ke sebuah rumah kebajikan di Batu Lanchang selepas selesai rawatan, sebelum hilang begitu sahaja.

Berita berkaitan

'Mungkin tulang dan baju milik Annapuranee?'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 9:02 PM