KEADAAN kereta yang ‘terbang’ sebelum merempuh tingkat dua sebuah bangunan di selatan California, Amerika Syarikat kelmarin. FOTO  Capt. Stephen Horner, AP
KEADAAN kereta yang ‘terbang’ sebelum merempuh tingkat dua sebuah bangunan di selatan California, Amerika Syarikat kelmarin. FOTO Capt. Stephen Horner, AP
Agensi

California: Seorang lelaki terperangkap selama sejam selepas kereta dinaikinya terbabas sebelum ‘terbang’ lalu terperosok di tingkat dua sebuah bangunan di sini kelmarin.

Kemalangan di selatan California, Amerika Syarikat (AS) itu turut menyebabkan berlakunya kebakaran kecil ketika mangsa dan seorang pemandu berada di dalam kereta.

Bagaimanapun, salah seorang daripadanya berjaya keluar dari kereta yang menembusi bangunan pejabat itu sebelum memadamkan kebakaran.

Jurucakap bomba, Stephen Horner memberitahu, pihaknya berjaya menyelamatkan mangsa yang lebih sejam terperangkap di dalam kereta yang tergantung itu.

“Kereta itu yang dipercayai dipandu laju terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan dan melayang merempuh bangunan.

“Seorang penumpang kereta itu berjaya keluar tanpa bantuan, manakala seorang lagi terperangkap dan terpaksa meminta bantuan bomba,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian bangunan pejabat berkenaan tidak berpenghuni.

Katanya, kedua-dua mangsa dibawa ke hospital berhampiran kerana mengalami kecederaan ringan yang dialami mereka.

“Kedua-dua mangsa sangat bernasib baik kerana hanya mengalami kecederaan ringan dan tiada mangsa lain yang terbabit dengan insiden ini,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 4:22 AM