BOMBA mengawasi kebakaran di seberang jalan di Detwiler berhampiran bandar Mariposa, California, semalam. - AFP
BOMBA mengawasi kebakaran di seberang jalan di Detwiler berhampiran bandar Mariposa, California, semalam. - AFP

California (Amerika Syarikat): Kebakaran hutan seluas 25,000 ekar di tengah California - satu daripada puluhan kebakaran besar yang melanda Barat Amerika Syarikat mengancam ratusan kediaman dan perniagaan semalam selepas 5,000 penduduknya terpaksa dipindahkan.

Sebanyak 46 kebakaran aktif berlaku di 12 negeri dengan 11 yang baru dilaporkan pada hari Selasa saja, menurut laman web Pusat Kebakaran Antara Agensi Kebangsaan.

Kira-kira 4.4 juta ekar kawasan terbakar sejak awal 2017, berbanding 2.7 juta ekar bagi tempoh sama tahun lalu, katanya.

Keadaan cuaca kering dan berangin mencetuskan musim kebakaran menyebabkan ribuan orang dipindahkan, termasuk di Oregon serta Nevada.

Bomba berjaya mengawal lima peratus daripada Kebakaran Detwiler yang mengancam 1,500 bangunan di perkampungan kecil sekitar pergunungan Sierra Nevada, kata pihak berkuasa.

Kira-kira 2,000 penduduk diarahkan berpindah ke Mariposa, California pada Selasa.

Sejumlah 5,000 penduduk terpaksa berpindah ke beberapa perkampungan kecil di barat daya Taman Kebangsaan Yosemite sejak kebakaran bermula, Ahad lalu, kata Pasukan Pengurusan Bencana Antara Agensi California di Twitter.

Bomba berkata, tiada kecederaan dilaporkan setakat lewat Selasa. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2017 @ 11:35 AM