PEMENANG mahu baiki lakonan, beri inspirasi kepada orang lain.
PEMENANG mahu baiki lakonan, beri inspirasi kepada orang lain.
Sudirman Mohd Tahir dan Najiy Jefri

Malam kemuncak Anugerah Skrin 2017 (ASK 2017) yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, Jumaat lalu mengangkat empat figura hebat tanah air iaitu Khir Rahman sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Filem, Sangeetha Khrisnasamy (Pelakon Wanita Terbaik Filem), Fasha Sandha (Pelakon Wanita Terbaik Drama) dan Hasnul Rahmat sebagai pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Drama.

Khir ketika ditemui berkata, kejayaannya merangkul kategori Pelakon Lelaki Terbaik Filem menerusi Rock Bro arahan Mamat Khalid menterjemahkan kemenangannya sebagai rezeki daripada Ilahi.

“Saya tidak sangka lakonan saya masih diangkat dan dinilai. Bukan apa, saya sudah lama dalam bidang ini dan tidak pernah berharap untuk memenangi sebarang anugerah. Calon lain semuanya hebat. Kemenangan ini adalah rezeki saya.

“Kejayaan ini juga berkat pertolongan setiap individu yang terbabit dalam filem ini. Saya perlu berterima kasih kepada mereka kerana berjaya menerbitkan satu naskhah hebat yang membentuk karakter saya dengan baik,”katanya.

Ditanya mengenai kekuatan watak sehingga mengetepikan nama besar yang tercalon bagi kategori itu, Khir berkata, selain tidak main-main ketika berlakon, filem itu juga disuntik dengan warna-warni yang menarik.

“Kerjaya ini bukan sebuah pentas permainan. Saya memberikan seluruh jiwa ketika mendalami watak ini. Dalam lakonan, saya akan buat yang terbaik kerana ini sumber rezeki dan tempat saya cari makan.

“Di saat langit industri diwarnai dengan ramai pendatang baru, saya perlu mempelbagaikan watak supaya kehadiran terus diingati,” katanya.

Mempamerkan aksi cemerlang dan menguji kredibiliti sebagai anak seni, Sangeetha sekali lagi melakar catatan terindah menerusi filem Adiwiraku selepas memenangi kategori sama pada Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) tahun ini.

Mempamerkan aksi cemerlang dan menguji kredibiliti sebagai anak seni, Sangeetha sekali lagi melakar catatan menerusi filem Adiwiraku selepas memenangi kategori sama pada Festival Filem Malaysia ke-29 tahun ini.

Sangeetha yang menewaskan empat calon lain iaitu Izara Aishah, Sharifah Amani, Sofia Jane dan Jericca Lai bersyukur kerana usaha kerasnya merealisasikan watak sebagai Cikgu Cheryl Ann sekali lagi membuahkan ganjaran apabila bakatnya diiktiraf juri profesional.

“Memang tidak sangka langsung akan menang. Apabila nama disebut, saya hanya terpaku dan sangat terkejut. Sebenarnya tujuan saya datang hanya untuk memeriahkan majlis.

“Saya anggap kemenangan ini rezeki kerana calon lain semuanya hebat. Kejayaan ini saya dedikasikan kepada seluruh pasukan produksi kerana menghasilkan sebuah karya yang hebat,” katanya.

Sangeetha berkata, dia berharap dapat memperbaiki mutu lakonannya dan mendapat naskhah yang memberi inspirasi kepada penonton.

“Selepas kejayaan Adiwiraku, saya berharap akan dapat lebih banyak tawaran lakonan seumpamanya. Saya mahu melakukan naskhah yang dapat mencipta inspirasi kepada penonton.

“Saya mahu penonton melihat saya melakonkan watak yang memberi mesej kepada penonton. Kejayaan berganda ini membuatkan saya terus bersemangat untuk meneruskan kerjaya ini,” katanya.

Sangeetha berkata, syarikat produksi tempatan perlu memperbanyakkan karya berdasarkan kisah benar yang berlaku di negara ini sebagai sebuah naskhah mampu memberi inspirasi.

“Saya berharap kita mempunyai lebih banyak filem berunsurkan kisah benar yang boleh dijadikan teladan serta inspirasi untuk generasi akan datang, sekali gus menunjukkan identiti kita sebagai bangsa Malaysia,” katanya.

Fasha menang selepas 9 tahun, Hasnul kagumi calon lain

Pelakon jelita Fasha Sandha yang julung kali memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik Drama mengakui pengiktirafan itu adalah satu bonus selepas sekian lama tidak tercalon dalam kategori terbabit.

Fasha yang memenangi kategori itu menerusi telefilem Terima Kasih Ramadan berkata, dia sangat gembira dan terkejut apabila namanya diumumkan pemenang selepas hampir sembilan tahun tidak tercalon dalam kategori itu.

“Anugerah ini adalah yang kesembilan selepas memenangi beberapa anugerah popular tanah air.

“Memang saya tidak sangka akan menang. Saya berasakan ia lebih layak disandang Ellie Suriaty atau Vanidah Imran kerana mereka berdua idola saya.

“Saya bersyukur bakat saya diiktiraf dan diangkat setinggi ini. Bagi saya, untuk bertahan dalam bidang ini kita perlu ada disiplin dan komited dalam segala hal.

“Saya tidak pernah mensia-siakan setiap peluang yang datang kerana lakonan adalah kerjaya sepenuh masa. Jadi saya perlu melakukannya dengan sebaik mungkin,” katanya.

Menurut Fasha, dia berharap kejayaan ini dapat memberinya lebih semangat untuk terus mempamerkan lakonan bermutu dan terbaik.

“Kejayaan ini sedikit sebanyak memberi saya lebih semangat dan idea baru untuk melakonkan watak dalam setiap naskhah.

“Doakan semoga bakat yang dianugerahkan ini dapat melebarkan sayap saya selain memberi motivasi kepada pelakon lain supaya tidak mengalah untuk mengejar impian,” katanya.

Dalam pada itu, kejayaan Hasnul Rahmat dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik Drama menerusi telefilem Kapcai Ayah turut mengundang kejutan apabila namanya diumumkan.

“Saya datang hanya untuk memeriahkan majlis dan bertemu kawan. Saya tidak sangka nama saya diumumkan sebagai pemenang.

“Kejayaan ini adalah satu bonus buat saya. Saya memang tidak jangka dengan kemenangan ini kerana calon lain bukan mudah untuk dikalahkan. Mereka mempunyai kekuatan watak yang tersendiri. Berpeluang menonton drama lakonan mereka, saya sendiri kagum dengan hasil kerja yang diberikan. Inilah yang dinamakan rezeki,’ katanya.

Menurut Hasnul, sebagai orang lama dia mengingatkan kepada pelakon muda supaya sentiasa jujur dalam watak yang dilakonkan.

“Saya teruja melihat industri seni yang diwarnai dengan kehadiran wajah baru. Saya harap mereka dapat bekerja keras dan jujur dalam setiap watak kerana bidang ini bukan pentas yang mengejar populariti semata-mata.

“Bakat yang dianugerahkan ini perlu dikongsi supaya penonton menerima setiap mesej yang ingin disampaikan,” katanya.

Erma tak mahu bertanding lagi, U-Wei cemerlang dengan Hanyut

Telefilem Pesan Dari Tuhan arahan Erma Fatima cemerlang di ASK 2017 apabila membawa pulang empat anugerah utama iaitu Drama Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama (Remy Ishak) dan Lakon TV Terbaik (Erma Fatima).

Telefilem terbitan Rumah Karya Citra Sdn Bhd itu mengetepikan empat telefilem lain iaitu Kapcai Ayah, Mak Tak Bagi Balik, Menantu Material dan Terima Kasih Ramadan.

Erma berkata, itu adalah penyertaan terakhirnya untuk ASK dan selepas ini dia tidak mahu lagi bertanding dalam mana-mana kategori bagi memberi peluang kepada orang lain.

“Selama 25 tahun berada dalam industri perfileman dan drama, saya sudah lima kali menang Pengarah Terbaik di ASK. Jadi, saya fikir cukup sampai sini untuk bertanding.

“Saya bukan terus berhenti mengarah, tetapi nak perlahankan saja. Saya ingin memberi fokus kepada perniagaan dan francais Mak Cun. Pada masa sama, saya ingin memberi laluan kepada orang lain untuk merasai kemenangan ini,” katanya.

Bagaimanapun, Erma tidak menolak untuk mempertandingkan karya terbitan syarikat produksi miliknya membabitkan pengarah dan pelakon lain.

“Kalau rindu mengarah, barulah saya kembali. Syarikat saya tetap terbitkan drama, tetapi diarahkan pengarah lain.

“Jadi, saya tidak boleh menghalang untuk mereka bertanding, cuma keputusan ini hanya membabitkan saya seorang,” katanya.

Kategori Filem Terbaik dimenangi Hanyut yang menewaskan pemenang kategori Filem Terbaik Malaysia ke-29 (FFM29) iaitu Adiwiraku.

Filem arahan U-Wei Shaari itu turut menewaskan tiga calon lain iaitu Rock Bro, Interchange dan Desolasi.

U-Wei turut memenangi kategori Pengarah Terbaik Filem menewaskan Mamat Khalid (Rock Bro dan Lebuhraya Ke Neraka), Daen Said (Interchange) dan Syafiq Yusof (Desolasi).

Pengarah hebat itu turut memenangi kategori Lakon Layar Terbaik.

Hanyut turut cemerlang apabila menyapu bersih kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem yang dimenangi Khalid Salleh serta Diana Danielle.

U-Wei menyifatkan kejayaan filem Hanyut datang daripada kekuatan pelakon filem itu.

“Seorang pembikin filem yang baik dapat dilihat daripada pemilihan pelakonnya. Jadi, boleh tengok dalam filem Hanyut apabila saya menampilkan pelakon yang diakui kredibiliti mereka.

“Saya ada Sofia Jane, Khalid Salleh, Alex Komang, Diana Danielle dan ramai lagi. Terima kasih kepada semua pelakon yang bekerja keras menjayakan filem ini.

“Apabila seorang pengarah memilih pelakon yang tepat, pada saya filem berkenaan sudah siap,” katanya.

Kemenangan pelakon veteran Azizah Mahzan turut mencuri tumpuan menerusi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama untuk telefilem Terima Kasih Ramadan.

Bagi kategori Pelakon Komedi Terbaik pula menjadi milik Ellie Suriaty menerusi drama Papa Sayang. Ellie menewaskan pemenang tahun lalu iaitu Erma Fatima menerusi drama Mak Cun 3.

Bagi kategori Drama Rantaian Terbaik ia dimenangi oleh drama My Sweet Lavender terbitan OrangeTree Production Sdn Bhd.

Drama ini menewaskan drama popular Andainya Takdir dan 7 Hari Mencintaiku yang disebut-sebut bakal menang.

Drama Komedi Terbaik menjadi milik drama Budak Ijat terbitan Radius One Sdn Bhd.

Selain itu, program Misi - K 2016 (Misi Kemanusiaan Pulau Cebu Filipina) berjaya merangkul kategori Rancangan Majalah Terbaik.

Program Mentor Milenia 2017 (Akhir) terbitan TV3 dinobatkan sebagai Rancangan Realiti Terbaik.

Bagi kategori Rancangan Anugerah Terbaik menjadi milik program Anugerah Juara Lagu 31 yang disiarkan di TV3.

ASK 2017 menampilkan tiga hos Fahrin Ahmad, Jihan Muse dan Shuk Balas.

Acara itu turut diserikan dengan persembahan daripada Akim & The Majistret, Stacy, Haqiem Rusli, Nora, Jaclyn Victor, Black, Ayda Jebat, Aiman Tino dan Salam Musik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2017 @ 9:54 AM