PUTERI Balqis ketika meraikan kemenangannya di Asian Television Awards 2014.
PUTERI Balqis ketika meraikan kemenangannya di Asian Television Awards 2014.
Oleh Roslen Fadzil

Kuala Lumpur: Pengarah handalan Erma Fatima berharap kejayaan pelakon cilik, Puteri Balqis Azizi, 7, yang memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada Asian Television Awards 2014 di Singapura, semalam akan menutup pandangan negatif serta cemuhan segelintir pihak yang masih mempertikaikan kemenangannya dalam Anugerah Skrin (ASK) TV3, baru-baru ini.

Erma yang juga pengarah telemovie Balqis lakonan Puteri Balqis berkata, kejayaan terbabit sekali gus diharap dapat membuka minda masyarakat bahawa kanak-kanak tidak kira lelaki atau perempuan juga boleh dicalonkan bagi kategori utama lakonan sekiranya watak mereka besar.

“Sebagai pengarah telemovie Balqis, saya sangat bersyukur dan berbangga dengan kejayaan Puteri Balqis. Dia memang luar biasa dan kejayaan terbarunya itu juga adalah kejayaan buat Malaysia. Cuma saya berharap kejayaan Puteri Balqis di Singapura itu akan dapat menutup mulut-mulut mereka yang masih mempersoalkan pencalonan serta kejayaan dia dalam ASK, baru-baru ini. Kenapa kanak-kanak boleh dicalonkan bersama pelakon dewasa kalau watak mereka cukup besar, berat dan penting?

“Apa yang membanggakan saya, Puteri Balqis mengalahkan finalis lain terutama aktres Joan Chen yang sudah lama mencipta nama dalam filem Hollywood seperti The Last Emperor,” kata Erma kepada Harian Metro.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Disember 2014 @ 5:20 AM