UMMI, Saleha luah rasa gembira filem lakonan mereka tercalon
UMMI, Saleha luah rasa gembira filem lakonan mereka tercalon
Oleh Ardini Sophia Sina


DEBARAN kian terasa. Keputusan pemenang Anugerah Skrin 2019 (ASK2019) esok pasti tidak hanya dinantikan penggiat seni tempatan, tetapi juga peminat.

Pelakon Ummi Nazeera dan Siti Saleha yang masing-masing membintangi filem Gol & Gincu Vol 2 serta Tujuh meluahkan rasa gembira apabila karya itu turut dicalonkan dalam kategori Filem Terbaik.

Ummi berkata, susah payah ketika melakonkan watak Yaya berbaloi apabila dimaklumkan filem berkenaan turut memberikan saingan pada karya lain yang dicalonkan.

“Ketika penggambaran, saya hamil dua bulan dan perlu jayakan babak berbasikal. Watak Yaya walaupun tidak terlalu berat, ia masih mencabar. Dulu, saya cakap watak dalam Penanggal sukar, tetapi sekarang boleh dikatakan Yaya susah sebab keadaan saya ketika menjayakan penggambaran,” katanya.

Tidak meletakkan harapan tinggi untuk melihat filem itu memenangi kategori berkenaan, Ummi menerima setiap keputusan dengan hati terbuka dan akan terus memberikan sokongan terhadap hasil seni tempatan.

Katanya, kemenangan yang dikecapi tidak perlu dipertikaikan kerana juri yang menilai setiap calon itu adalah individu berpengalaman luas dalam industri seni.

“Siapa pun yang menang, saya tidak kisah kerana mereka pasti layak menerima penganugerahan berkenaan.

Tambahan pula, juri yang mengadili bukan calang-calang orangnya.

“Semua individu yang ada dalam industri seni sudah saya anggap sebagai rakan sekerja.

“Saya sentiasa memberikan sokongan dan gembira atas kejayaan mereka,” katanya.

Sementara itu, bagi Saleha pula, dia berpuas hati walaupun filem lakonannya sekadar dicalonkan dalam kategori dipertandingkan dalam ASK 2019 sudah cukup menggembirakan hatinya.

Sebagai pelakon, bukan kemenangan yang dikejar, namun bersyukur andai ada rezeki menggenggam trofi kerana pengiktirafan terhadap penat lelah dan bakat mereka.

“Tujuan utama adalah menghiburkan penonton menerusi jalan cerita yang ditonjolkan. Kalau sesebuah naskhah itu menang, ia turut memberikan impak pada keseluruhan ‘team’ yang menjayakan karya berkenaan.

“Bagaimanapun, dicalonkan saja pun sudah cukup membuatkan saya gembira. Filem itu ditayangkan selepas lima tahun dan tidak sangka turut dicalonkan dalam kategori Filem Terbaik,” katanya.

ASK 2019 masih mengekalkan format tahun lalu iaitu tidak mengumumkan calon untuk beberapa kategori termasuk Pelakon Filem Wanita Terbaik dan ia hanya akan diketahui pada malam kemuncak.

“Saya tidak tahu dicalonkan untuk mana-mana kategori. Kalau ada, saya bersyukur. Sekurang-kurangnya orang nampak saya masih ada dalam industri seni.

“Bagaimanapun, saya percaya kemenangan atau hanya sekadar dicalonkan dalam anugerah pun memberi impak pada kerjaya kerana itu tanda orang percaya bakat kita,” katanya.

ASK 2019 bakal bersiaran secara langsung dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur jam 9 malam esok di TV3.

Selain itu, malam anugerah itu juga boleh distrim secara langsung dalam definisi tinggi di laman sesawang www.tonton.com.my dan YouTube @TV3Malaysia.

Secara keseluruhan, ASK 2019 mempertaruhkan 30 kategori merangkumi 14 kategori drama, tujuh kategori filem, sembilan kategori bukan drama dan teknikal. Tiga kategori baharu di bawah kategori drama diperkenalkan pada tahun lalu turut bertanding dalam ASK 2019 iaitu Drama Rantaian Terbaik (Kategori Bahasa Cina), Pelakon Lelaki Terbaik Drama Rantaian dan Pelakon Wanita Terbaik Drama Rantaian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 5:10 AM