Oleh Norhayati Nordin


Soal menang atau tidak, bukan keutamaan. Apa yang lebih penting, beri lakonan terbaik untuk kepuasan penonton. Malah jauh di sudut hati, terbit rasa bangga apabila drama dibintangi dicalonkan di Anugerah Skrin 2015 (ASK2015).

Itulah perasaan tiga pelakon popular ini, Faizal Hussein, Beto Kusyairy dan Reen Rahim yang akan berentap di ASK2015 malam ini.

Apatah lagi buat Beto dan Reen, ini pencalonan pertama mereka di ASK berbanding Faizal. Malah ia rezeki berganda buat Beto, 35, dan sesuatu yang tidak dijangka apabila dicalon dalam tiga kategori iaitu Drama (Ada Sejadah Panjang Terbentang), Drama Rantaian Komedi (Rubberband) dan Filem (Gila Baby).

Beto atau Nurkusyairy Zakuan Osman akui dia menceburi lakonan bukan untuk mengejar nama, anugerah mahu pun populariti tetapi akur dengan rezeki diperoleh.

Katanya, dia sentiasa berusaha memberi yang terbaik dalam setiap karya dibintangi tidak kira drama atau filem. Katanya, ia adalah tanggungjawabnya sebagai pelakon.

“Sebenarnya, tidak mudah untuk saya berada pada tahap seperti sekarang. Selepas puas berusaha dan kerja keras, baru sekarang memperoleh hasilnya.

“Pun begitu, menang anugerah serta meraih populariti bukanlah matlamat utama saya. Jadi, tiada istilah bersaing bagi saya dalam pencalonan ASK ini.

“Bagi saya, setiap drama dan pelakon dicalonkan itu sudah terbaik kerana berjaya bekerja dalam satu pasukan untuk menghasilkan satu karya yang bagus buat penonton,” katanya.

Menurut Beto, sama ada drama atau filem apa yang diinginkan penonton adalah menyaksikan karya terbaik dihasilkan dan bukan komersial semata-mata.

“Jujur saya katakan, sudah sangat bersyukur apabila ada tiga produk lakonan saya dicalon pada ASK 2015 kali ini dan menang atau tidak terserah rezeki. Sudah dicalon ke tahap ini pun bagi saya sangat bermakna dan gembira,” katanya yang membintangi salah satu episod drama Sayap Jibrail arahan Rashid Sibir.

Mengakui dirinya pelakon serius, Beto menjelaskan penting baginya memilih watak dan tawaran berlakon kerana idamkan karya yang bagus.

“Selain menilai skrip, saya juga melihat siapa rakan lakon dan pengarah yang akan bekerjasama. Ini kerana, saya tidak main-main ketika bekerja.

“Setiap tawaran diterima adalah tanggungjawab. Jadi, untuk merealisasikannya saya perlu bekerja dengan jujur dan ikhlas,” katanya.

Beto yang sudah membintangi banyak drama dan filem, akan melebarkan bakat lakonannya ke Singapura untuk berlakon mini siri lapan episod dan menetap di negara jiran itu selama dua bulan.

Bagi Reen atau Noreen Ashikin Abdul Rahim, 27, memang menjadi impiannya untuk drama dibintangi disenaraikan dalam pencalonan ASK 2015.

Tidak pernah menduga drama Talak lakonannya bersama Fizo Omar dan Diana Danielle berjaya dicalonkan, Reen berkata dia sangat teruja dan gembira.

“Meskipun dalam Talak watak saya adalah antagonis sebagai ‘orang ketiga’, perjalanan kisahnya sangat menarik dan sarat pengajaran.

“Talak bukanlah perkara yang boleh diambil mudah dalam perkahwinan. Justeru, selain berlakon dalam karya ini saya akui banyak juga ilmu yang ditimba,” katanya.

Menyerahkan urusan kemenangan kepada penilaian juri, Reen berkata apa yang pasti ialah impiannya untuk drama lakonannya dicalon dalam ASK 2015 menjadi kenyataan.

“Berada pada tahap sekarang pun, bagi saya ia rezeki yang sangat bermakna. Ini kerana sepanjang tahun banyak drama yang disiarkan stesen TV.

“Berada dalam senarai kelompok drama terbaik yang layak dicalon bukan mudah. Semestinya perlu melalui beberapa peringkat penilaian,” katanya.

Reen yang muncul di pawagam dengan filem Mirip lakonannya bersama Fezrul Khan dan Ezzaty Abdullah mulai 5 November lalu, mengharapkan karya itu diterima penonton.

Berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam ini, ASK2015 juga disiarkan secara langsung di TV3.

Sebanyak 31 kategori dipertandingkan iaitu 12 kategori mewakili drama, tujuh (filem), enam (penerbitan dalaman) serta enam (teknikal).

Antara drama dicalonkan ialah Cahaya Cinta, Cahaya Malaika, Dari Pintu Neraka, Hak, Jalan Taubat, Kereta Kita, Kerana Seorang Ammar, Penyabong, Pulangnya Tok Misai, Sebentuk Kunci Sedetik Cinta, Seligar, Sujud Ibuku dan Sinar Ya Rob.

Bagi kategori rantaian pula, drama dicalonkan seperti Angin Syurga, Astana Cinta Aleesa, Cinta Ilahi, Hidayahmu Ramadan, Mukhlis, Puteri Gunung Ledang, Tabuh Merdeka dan Zahira. Manakala kategori drama rantaian komedi menyaksikan saingan Asam Pedas Untuk Dia dan Menantu Mak Uteh.

Semestinya sukar untuk membuat ramalan awal kerana ASK 2015 kali ini hanya akan mengumumkan senarai lima pencalonan terbaik pada malam nanti.

Malam kemuncak ASK 2015 akan menyaksikan gandingan vokalis kumpulan Wings, Awie, dan penyampai popular, Fara Fauzana sebagai pengacara.

Tidak ketinggalan barisan selebriti dan dramatis yang terbabit dalam segmen persembahan ialah Azmil, Amir Jahari, Ayda Jebat, Asmidar, Ungku Ismail Aziz, Zahiril Adzim, Marsha Milan Londoh, Izzue Islam, Toi dan Sarah Mentor Legend.

Manakala senarai penyampai trofi ialah Nur Fazura, Maya Karin, Erma Fatima, Que Haidar, Hans Isaac, Sharifah Amani, Izreen Azminda dan Nadiya Nisaa.

Faizal berlakon dengan Simon Yam

Berbeza dengan Faizal Hussein, 48, yang dicalonkan melalui Lorong Kecil Ke Syurga, namanya sering dicalonkan menerusi drama tetapi belum ada rezekinya untuk menang.

Faizal akui gembira dan teruja apabila mendapat tahu Lorong Kecil Ke Syurga berjaya dicalonkan di ASK 2015. Ia satu penghargaan besar buatnya kerana berpeluang menjayakan watak cukup mencabar dan memberi pengalaman sangat bermakna.

Katanya, drama arahan Raja Mukhriz itu cukup istimewa buat dirinya apabila melakonkan watak berbeza dan agak berat sebagai gelandangan.

“Saya seronok kerana mendapat peluang melakonkan watak sebenar dan wujud dalam kehidupan realiti. Meskipun kehidupan gelandangan itu sukar, saya puas kerana lakonan dipersembahkan berjaya meninggal kesan di hati penonton,

“Wajah saya langsung tidak dimekapkan dan lebih menarik, saya bermain dengan benda kotor dan sampah-sarap hingga mengalami jangkitan bakteria di leher dan perlu mendapatkan rawatan doktor selepas penggambaran drama ini selesai,” katanya.

Pernah menang dua kali di ASK menerusi kategori filem, Faizal teruja kerana sekali lagi namanya dicalonkan untuk drama.

“Sebelum ini saya menang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem di ASK 2003 untuk filem Gerak Khas The Movie II dan Pelakon Lelaki Terbaik Filem di ASK 2012 (Bunohan).

“Setakat ini, saya belum pernah menang kategori drama meskipun sudah beberapa kali nama melepasi senarai lima pencalonan akhir. Belum ada rezeki,” katanya.

Faizal yang juga bapa dua anak, masih ligat menjadi hero filem dan drama. Terbaru, Faizal berkongsi kegembiraannya bakal berganding dengan aktor ternama Hong Kong, Simon Yam untuk filem Mrs K.

Filem bergenre aksi itu diarahkan pengarah tempatan, Ho Yuhang dan Faizal melakonkan watak nelayan dan adik angkat Simon. Penggambarannya akan dimulakan bulan ini dan dia akui agak gementar kerana akan beraksi di samping hero ternama antarabangsa.

“Kalau dulu saya hanya berpeluang menyaksikan lakonan Simon tetapi kini nampaknya saya ada rezeki untuk bekerjasama dengannya.

“Selepas kerjasama dengan Yuhang untuk Mrs K, pada Disember nanti saya akan ke lokasi penggambaran filem Naga arahan Raja Mukhriz pula,” katanya.

Mengakui seorang yang suka mencuba dan sedia menimba pengalaman baru, Faizal berkata, lakonan berkesannya dalam filem Bunohan arahan Dain Said banyak membantu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2015 @ 5:05 AM