PARAMEDIK mengejarkan Choirul ke hospital sebelum dia diisytiharkan mati.- AFP
PARAMEDIK mengejarkan Choirul ke hospital sebelum dia diisytiharkan mati.- AFP
VAN membawa jenazah Choirul meninggalkan hospital, kelmarin. - AFP
VAN membawa jenazah Choirul meninggalkan hospital, kelmarin. - AFP
Agensi

Jakarta: Peminat bola sepak Indonesia semalam meratapi kematian Choirul Huda, penjaga gol dan kapten Lamongan FC atau Persela, selepas bertembung dengan rakan sepasukan ketika perlawanan Ahad lalu di sebuah stadium di Jawa Timur.

Rakaman video menunjukkan Choirul, 38, dirempuh rakan sepasukannya, Ramon Rodrigues ketika minit ke-43 perlawanan liga Go-Jek Traveloka, Ahad lalu. Dalam kejadian itu, lutut Rodrigues secara tidak sengaja mengenai dada Choirul, kata pegawai media kelab berkenaan Andika Hangga Pramana.

Pada mulanya dia masih dalam keadaan sedar sejurus kejadian dan dilihat memegang pipinya dalam keadaan bingung, tetapi kemudian menjadi kritikal.

Anggota pasukan perubatan berkata: “Dia nampak sedar dan mengadu sakit dada. Tetapi tiba-tiba dia pengsan.”

Choirul - yang bermain dengan Persela sepanjang kerjayanya dalam Liga Super Indonesia - terus dibawa keluar dari padang menaiki pengusung selepas tidak sedarkan diri dan pasukan perubatan di stadium itu terus memberikannya rawatan kecemasan, kata ketua Unit Rawatan Kecemasan Hospital Soegiri, Dr Yudistiro Andri Nugroho.

Dia kemudian dibawa ke unit rawatan rapi hospital itu dan diberi bantuan pernafasan serta resusitasi kardiopulmonari, tetapi keadaannya semakin nazak sebelum dia akhirnya meninggal dunia pada jam 4.45 petang.

“Kami melakukan sedaya yang mungkin tetapi gagal menyelamatkan Choirul Huda,” kata Dr Yudistiro dalam satu kenyataan.

Rakan sepasukannya terus meluru ke hospital sebaik wisel terakhir dibunyikan susulan kemenangan 2-0 pasukan berkenaan terhadap Semen Padang, manakala peminatnya turut memberikan penghormatan terakhir di rumahnya, lapor media tempatan.

Ketua jurulatih Aji Santoso berkata: “Kehilangan ini sungguh sukar diterima kami semua. Kami tidak sempat pun menemui doktor untuk menanyakan keadaannya kerana apa yang menyambut kami, jenazahnya.”

Sementara itu, Persela di laman rasmi Twitter membuat ucapan ‘Selamat Jalan Cap’ di atas gambar Choirul. Laman Instagram pasukan itu turut mengatakan kelab berkenaan tidak lagi akan menggunakan jersi nombor satu dipakai pemain mereka itu.

Choirul meninggalkan seorang isteri dan dua anak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 5:41 AM