DINIZ dipecat ekoran keputusan hambar yang dilakarkan Brazil. -FOTO AFP
DINIZ dipecat ekoran keputusan hambar yang dilakarkan Brazil. -FOTO AFP
AFP

Brasilia: Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF) memecat Fernando Diniz sebagai jurulatih pasukan kebangsaan rentetan keputusan hambar untuk "Selecao" dalam kelayakan Piala Dunia.

Peminat berharap Diniz, 49, yang juga jurulatih kelab Rio de Janeiro Fluminense, akan memulihkan "bola sepak samba" dan kembali menjadikan juara dunia lima kali itu terkenal.

Tetapi sejak mengambil tugas itu pada Julai dia bergelut untuk menaikkan semula Brazil yang kini menduduki kedudukan keenam dalam kelayakan Piala Dunia 2026 Amerika Selatan, kedudukan terakhir untuk layak secara automatik dari benua itu.

Keputusan itu dibuat sehari selepas hakim Mahkamah Agung mengarahkan pengembalian semula kedudukan jawatan presiden CBF, Ednaldo Rodrigues yang digulingkan selepas mahkamah rendah pada 7 Disember mendapati penyelewengan dalam pemilihannya pada 2022.

FIFA dan Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL) enggan menerima penyingkiran Rodrigues, memberi amaran kepada CBF bahawa ia boleh dihalang daripada pertandingan antarabangsa jika terdapat campur tangan luar dalam hal ehwalnya.

Rodrigues, presiden kulit hitam pertama dalam sejarah CBF, mengetuai rundingan mendapatkan pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti sebagai jurulatih.

Tawaran itu gagal pada 29 Disember apabila Ancelotti menyambung kontraknya dengan gergasi Sepanyol itu.

Diniz hanya melakarkan dua kemenangan dalam tempoh enam bulan membimbing Brazil dan mencatatkan tiga kekalahan berturut-turut yang memalukan dalam kelayakan Piala Dunia, termasuk di tempat sendiri kepada musuh ketat Argentina pada November.

Laporan media Brazil mencadangkan Dorival Junior yang kini melatih Sao Paulo sebagai penggantinya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2024 @ 8:01 AM