DR Noor Azizi (kanan) beramah mesra dengan penuntut antarabangsa dalam majlis ringkas Aidilfitri yang diadakan di Kolej Kediaman Kampus Pengkalan Chepa. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
DR Noor Azizi (kanan) beramah mesra dengan penuntut antarabangsa dalam majlis ringkas Aidilfitri yang diadakan di Kolej Kediaman Kampus Pengkalan Chepa. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi

KETIKA rakan lain meraikan Aidilfitri di kampung halaman, namun terdapat penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) meraikan sambutan 1 Syawal di kampus jauh daripada keluarga tercinta.

Bagi mengubati kerinduan terhadap keluarga, pengurusan UMK mengambil inisiatif mengadakan majlis ringkas Aidilfitri bagi meraikan 12 penuntut termasuk enam penuntut antarabangsa di Kolej Kediaman Kampus Pengkalan Chepa, Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, Naib Canselor UMK Prof Datuk Dr Noor Azizi Ismail menyantuni dan memberi kata-kata semangat kepada mereka yang tidak dapat pulang berhari raya di kampung halaman.

Penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, Indra Choirul Umam, 24, dari Jawa Tengah, Indonesia berkata, penganjuran majlis berkenaan satu rahmat baginya apabila terpaksa meraikan 1 Syawal di bumi asing.

Menurutnya, ini adalah tahun kedua dia menyambut Aidilfitri di Malaysia dan bersyukur kerana masih ada yang mengingati.

"Kebiasaannya pada 1 Syawal, ibu akan memasak Opor atau kari ayam iaitu makanan popular di Jawa Tengah yang dimakan bersama ketupat setiap kali menyambut lebaran.

"Namun, atas faktor tertentu selain Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya mengambil keputusan tidak ke kampung memandangkan tempoh pengajian saya di UMK hanya berbaki dua bulan lagi.

"Untuk mengubat kerinduan kepada keluarga di Indonesia, saya hanya mampu menghubungi mereka menerusi panggilan video," katanya.

INDRA Choirul Umam. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
INDRA Choirul Umam. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains Bumi, Siyad Abdul Rahman, 24, dari Somalia berkata, ini adalah kali pertama dia menyambut Aidilfitri jauh daripada keluarga selepas selepas menyambung pengajian di UMK.

"Walaupun saya merindui masakan ibu, namun pada hari ini saya dapat merasai keenakan makanan Malaysia ketika menyambut lebaran... paling saya suka sekali ialah sate dan kuah kacang.

"Saya baru empat bulan berada di sini dan jika tidak ada halangan saya merancang untuk pulang ke kampung halaman pada September tahun hadapan dan berharap dapat menamatkan pengajian dengan memperoleh keputusan cemerlang," katanya.

Sementara itu, Noor Azizi berkata, majlis Aidilfitri ini diadakan secara ringkas dan sederhana dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan mengamalkan penjarakan sosial.

Katanya, sepanjang PKP, seramai 950 daripada 1,000 penuntut UMK sudah pulang ke rumah masing-masing.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 2:44 PM