Agensi

London: Joshua Cheptegei berkata dia berazam menjadi hanya atlet kelapan meraih pingat emas berganda dalam acara 5,000m dan 10,000m di Sukan Olimpik.

Jaguh Uganda berusia 24 tahun itu mencipta rekod dunia dalam kedua-dua acara itu tahun lalu selepas meraih emas 5,000m di kejohanan dunia di Doha 2019.

"Ia sudah pasti cabaran paling sukar tetapi saya sedia menyahutnya," katanya kepada BBC World Service Sport.

"Ia memerlukan tumpuan sepenuhnya, dari segi perlumbaan dan ketahanan mental tetapi saya akan berusaha memenangi kedua-dua pingat emas."

Hanya tujuh atlet yang berjaya meraih emas 5,000m dan 10,000m dalam satu temasya Olimpik dengan atlet Britain, Mo Farah meraih kejayaan berganda di London 2012 dan Rio 2016.

Ketika remajanya, Cheptegei menduduki tempat kelapan dan keenam dalam kedua-dua acara akhir di Rio.

"Ia sudah pasti mengagumkan jika dapat merealisasikannya tetapi jika saya menang emas acara 10,000 sudah cukup membanggakan,'' tambah Cheptegei.

Uganda hanya menang dua emas Olimpik dalam sejarah penyertaan mereka. John Akii-Bua menjuarai 400m lari berpagar pada 1972 dan Stephen Kiprotich menang maraton 40 tahun kemudian di London.

Cheptegei memakai kasut Nike - ZoomX Dragonfly yang berteknologi tinggi tetapi Cheptegei percaya dengan teknologi sama yang boleh dimiliki semua atlet jika mereka mahu menggunakannya, dia tidak memiliki kelebihan.

"Kasut itu memang membantu saya," katanya. "Tetapi dalam kes ini, kasut itu tidak hanya milik Mr Cheptegei. "Ia boleh dimiliki semua orang yang mahu memburu rekod dunia."

"Anda boleh lihat Yomif Kejelcha, Selemon Barega...ia bukan sahaja mengenai kasut tetapi turut kepada fokus ketika latihan dan bukannya melancong.''

"Dan saya hanya fokus satu perkara iaitu mencatat rekod baharu dunia."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2020 @ 10:11 PM