NANCY (duduk empat dari kiri) pada program KASIH Remaja: Sihat & Selamat di Kuching, Sarawak.
NANCY (duduk empat dari kiri) pada program KASIH Remaja: Sihat & Selamat di Kuching, Sarawak.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


MESKIPUN ia adalah proses normal, stigma mengenai haid masih menebal dalam masyarakat.

Justeru, pemahaman masyarakat perlu ditingkatkan supaya remaja perempuan mahupun wanita lebih yakin ketika datang bulan.

Menyedari keperluan itu, KOTEX Malaysia bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM ) mengadakan program KASIH Remaja: Sihat & Selamat bagi menangani isu stigma haid dan memperkasakan gadis remaja di seluruh Malaysia.

Inisiatif selama tiga tahun itu membabitkan 600,000 remaja perempuan berusia 13 hingga 17 tahun.

Mereka diperkasakan dengan pendidikan kebersihan haid dan kesihatan reproduktif yang komprehensif.

Inisiatif itu turut disokong Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Yayasan Kebajikan Negara (YKN).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pemerkasaan remaja perempuan dengan akses kepada alat kebersihan haid yang betul tidak terhad kepada sanitasi mahupun produk sahaja.

Sebaliknya, ia adalah soal maruah, keyakinan dan potensi penuh mereka.

Untuk itu kata Nancy, pihaknya berusaha memperkasakan gadis remaja dengan pendidikan kebersihan haid dan kesihatan reproduktif melalui kolaborasi berkenaan.

"Inisiatif ini saling melengkapkan kerja yang diterajui KPWKM melalui Program KASIH Remaja: Sihat & Selamat yang merangkumi advokasi antiganguan seksual, hak kanak-kanak dan banyak lagi.

"Matlamat kami adalah untuk membina generasi gadis muda yang berdaya tahan dan kami mengalu-alukan kerjasama sektor swasta untuk melanjutkan usaha berkenaan.

"Kerjasama ini menandakan satu langkah penting ke arah mewujudkan generasi gadis yang tidak dihalang stigma haid dan bersedia untuk memimpin," katanya pada majlis pelancaran program itu di Kuching, Sarawak.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kimberly-Clark Malaysia, Lim Yu Chien berkata, pihaknya percaya bahawa setiap gadis berhak mengalami haid dengan yakin dan tanpa berasa malu.

Justeru, mereka perlu dilengkapi dengan pengetahuan dan produk untuk menguruskan haid.

"Kami bukan sahaja menyediakan sumber, pendidikan dan produk asas melalui program Kotex She Can Project, malah turut memupuk perbualan terbuka mengenainya untuk mewujudkan masyarakat di mana stigma haid tidak lagi mempunyai tempat.

"Modul pendidikan itu juga akan memberi fokus kepada topik yang lebih luas antaranya mengenai akil baligh hingga kitaran haid, sistem reproduktif, hak tubuh dan banyak lagi.

"Bahan pendidikan itu juga bersesuaian dengan budaya Malaysia dan akan diedarkan bersama dengan kit keyakinan iaitu kit kebersihan haid yang terdiri daripada tuala wanita serta pelapik celana dalam (panty liner) tanpa wangian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 6:30 AM