SEBAHAGIAN peserta yang menyertai Seminar Cinta Ketika Usia Muda.
SEBAHAGIAN peserta yang menyertai Seminar Cinta Ketika Usia Muda.

Kadar kehamilan tidak terancang yang tinggi dalam kalangan remaja nyata membimbangkan banyak pihak kerana ia jelas menandakan golongan itu kekurangan maklumat terhadap pendidikan seksual dan reproduktif.

Suka atau tidak, kita perlu menerima hakikat bahawa pendidikan seksual dan reproduktif untuk remaja ini sangat penting bagi membantu mereka memiliki personaliti yang baik sekali gus mengelak daripada terjebak dalam pelbagai gejala sosial.

Menyedari hakikat itu, Unit Promosi Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) menganjurkan Seminar Cinta Ketika Usia Muda: Salahkah Saya (CKUM) 2016, di Dewan Sekolah Kebangsaan Wawasan Seremban 2, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Seramai 250 pelajar sekolah menengah mewakili lapan sekolah dari seluruh Negeri Sembilan menyertai seminar berkenaan yang bertujuan memberi kefahaman dan meningkatkan kesedaran remaja terhadap pendidikan seksual.

Antara inti pati seminar itu ialah kesihatan seksual dan reproduktif, pendekatan Islam terhadap cinta, menjauhi zina dan motivasi hala tuju hidup.

Pengarah JKNS Dr Abdul Rahim Abdullah berkata, statistik di bawah Sistem Dokumentasi Remaja Hamil Kesihatan Keluarga JKNS merekodkan 580 kes remaja hamil membabitkan usia antara 10 hingga 19 tahun dari 2014 hingga 2015.

“Manakala bagi tempoh antara Januari hingga Jun tahun ini pula 303 kes direkodkan dengan daerah Seremban mencatatkan kes tertinggi didaftarkan iaitu 166 kes atau 54.8 peratus.

“Bagi masalah HIV di Negeri Sembilan pula, terdapat peningkatan pengidap HIV dalam kalangan umur antara 13 hingga 19 tahun iaitu tiga kes pada 2015 kepada enam kes sehingga September tahun ini, dengan jumlah keseluruhan penghidap HIV kategori itu bagi tempoh berkenaan ialah 37 kes.

“Situasi ini sememangnya membimbangkan dan ia memerlukan komitmen tinggi semua pihak untuk memainkan peranan penting bagi membendung gejala itu daripada terus meningkat pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai perlakuan seksual dalam kalangan remaja, menunjukkan 8.3 peratus pelajar pernah mengadakan hubungan seksual.

Menurutnya, berpandukan kajian WHO juga mendapati 50.4 peratus remaja pernah mengadakan hubungan seksual yang pertama kali sebelum usia 14 tahun dan 32.2 peratus menggunakan kondom ketika kali terakhir mengadakan hubungan berkenaan.

“Situasi itu jelas menunjukkan remaja ketika ini terdedah dengan hubungan seksual ketika zaman persekolahan, sesuatu yang perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak,” katanya.

Dr Abdul Rahim berkata, melihat senario itu, pendidikan kesihatan dan seksual amat penting dalam memperkasakan remaja.

“Justeru, seminar seperti ini diharap dapat membantu pelajar dan golongan muda mendapatkan pendedahan serta maklumat mengenai pendidikan seksual dan kesihatan mereka.

“Ia perlu diteruskan bagi memastikan lebih ramai remaja diberikan pendedahan agar kita dapat membendung permasalahan sosial ini,” katanya.

Timbalan Pengarah JPNS Pkharuddin Ghazali berkata, masalah gejala sosial membabitkan pelajar sememangnya sentiasa diberikan keutamaan kerana ia bukan saja akan menjejaskan masa depan mereka malah terhadap institusi pendidikan itu sendiri.

Pihaknya menyediakan pelbagai program remaja berpaksikan keperluan untuk melahirkan individu berpengetahuan dan bersikap positif dalam bidang kesihatan reproduktif serta sosial.

“Kita sedar pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial ini penting supaya pelajar mendapat kefahaman mengenainya dan membimbing supaya mereka tidak melakukan kesilapan besar ini apabila bercinta.

“JPNS berharap usaha seperti ini dapat membendung masalah sosial yang dikaitkan dengan remaja seperti mengadakan hubungan terlarang, mengandung anak luar nikah, buang bayi dan terjebak dalam penagihan dadah,” katanya.

Peserta, Muhamad Iqmal Daniel, 14, berkata, penyertaannya dalam seminar memberi banyak manfaat terutama dari aspek dalam menjalinkan hubungan dengan rakan sebaya.

“Remaja perlu berhati-hati dalam memilih rakan sebaya dan pastikan hubungan antara mereka lebih kepada kepentingan masa depan.

“Seminar ini dapat menyedarkan saya mengenai batas pergaulan dengan rakan sebaya perempuan selain meningkatkan lagi jati diri. Ia amat baik dan banyak ilmu yang saya dapat,” katanya yang juga pelajar SMK Seremban 2.

Muhamad Hakeem Abd Rahim, 14, dari Sekolah Tinggi Port Dickson berkata, seminar itu membantunya lebih memahami mengenai pendidikan seksual dan reproduktif.

“Pendidikan seksual dan reproduktif ini penting kerana ia dapat memandu kita menjadi insan yang sihat dan sentiasa berfikiran positif.

“Remaja perlu mengawal diri dan tidak boleh sesuka hati menjalinkan hubungan dengan gadis sebaya kerana ia boleh mengundang keterlanjuran. Sebagai lelaki yang akan menjadi ketua keluarga satu hari nanti, ilmu ini sangat penting.

“Berkawan tidak salah tetapi ia harus berpandukan kepada syariat supaya kita tidak terjebak dalam kancah maksiat, yang akhirnya memberi kesan kepada masa depan,” katanya.

Nur Darwisyali Mizman, 14, dari SMK Bukit Kepayang Seremban juga sedar kesilapan memilih kawan boleh mengundang padah.

Katanya, remaja seusianya perlu memilih kawan yang boleh membantu dalam pelajaran dan bukannya teman istimewa yang akhirnya mengundang kerosakan.

“Seminar ini mengingatkan saya pentingnya menjaga pergaulan, maruah dan nama keluarga,” katanya. – Mohd Amin Jalil

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2016 @ 4:49 AM