KAJIAN Kesihatan Seksual dan Reproduktif Warga Muda Malaysia dilancarkan baru-baru ini sebagai salah satu usaha mengenal pasti dan menangani isu seks dalam kalangan belia negara.
KAJIAN Kesihatan Seksual dan Reproduktif Warga Muda Malaysia dilancarkan baru-baru ini sebagai salah satu usaha mengenal pasti dan menangani isu seks dalam kalangan belia negara.
KAJIAN Kesihatan Seksual dan Reproduktif Warga Muda Malaysia dilancarkan baru-baru ini sebagai salah satu usaha mengenal pasti dan menangani isu seks dalam kalangan belia negara.
KAJIAN Kesihatan Seksual dan Reproduktif Warga Muda Malaysia dilancarkan baru-baru ini sebagai salah satu usaha mengenal pasti dan menangani isu seks dalam kalangan belia negara.
Nor Faizah Mohamed


Masyarakat Malaysia sememangnya sejak dulu dikenali dengan tatasusila dan adab sopan yang merangkumi hampir seluruh aspek kehidupan harian.

Hal kerja, rumah tangga, peribadi dan tabiat hidup biasanya tidak dibicarakan secara terbuka kerana ia dianggap perkara memalukan serta tidak sepatutnya disebarkan kepada orang luar.

Begitu juga halnya mengenai isu seksual dan kesihatan reproduktif atau dikenali sebagai ‘sexual reproductive health’ (SRH) yang dilihat sebagai perkara tabu untuk dibincangkan secara umum.

Bukanlah satu kebiasaan masyarakat kita untuk menceritakan masalah seksual khususnya alat kelamin walaupun kepada teman rapat kerana ia dianggap perkara sulit yang perlu dirahsiakan.

Kisah datang haid biasanya hanya dikongsi antara anak perempuan dengan ibunya dan sebaik mungkin dirahsiakan daripada ahli keluarga lain terutama lelaki.

Begitu juga halnya membabitkan masalah ‘kedewasaan’ anak lelaki yang didiamkan saja oleh keluarga kerana ia dianggap melanggar adab budaya.

Sukar untuk membuka bicara mengenai isu seksual kepada khalayak sedangkan hakikatnya permasalahan SRH ini amat penting dikongsi terutama dalam kalangan generasi muda.

Kesedaran mengenai SRH secara menyeluruh dalam kalangan belia amat penting bagi mencegah risiko hubungan seks tanpa perlindungan yang semakin merebak termasuk jangkitan bawaan seksual (STI) serta kehamilan luar nikah.

Justeru, sesuatu yang mengejutkan apabila ada golongan muda berusia 20-an yang tidak tahu kehamilan boleh berlaku apabila adanya hubungan kelamin bersama pasangan.

Itu antara beberapa penemuan yang didapati hasil kaji selidik dijalankan Perspective Strategies Sdn Bhd dan disokong Durex Malaysia meliputi seluruh negara, baru-baru ini.

Amat membimbangkan apabila masih ramai belia yang tidak faham dengan isu SRH ini dan hanya sebilangan kecil tahu kesan atau risikonya terhadap diri.

Kepesatan teknologi maklumat dan kecanggihan telefon pintar serta gajet dalam kalangan generasi muda nampaknya tidak banyak membantu golongan terbabit memahami isu ini.

Dalam kaji selidik itu, seramai 1,071 belia Malaysia berusia antara 18 hingga 29 tahun ditanya tahap pengetahuan mereka mengenai perkara membabitkan seks.

Kajian terbabit tertumpu pada lima tajuk utama iaitu sumber pendidikan kesihatan seksual dan reproduktif, pengetahuan mengenai kehamilan, kesedaran STI, pengetahuan mengenai kontraseptif atau pencegahan kehamilan dan isu perhubungan dengan pasangan.

Sebanyak 79 peratus warga muda Malaysia menerima maklumat mengenai kesihatan seksual dan reproduktif, namun lebih separuh berpendapat maklumat itu tidak mencukupi untuk membantu mereka membuat keputusan dengan lebih bertanggungjawab.

Menerusi pengetahuan yang agak cetek ini, tidak hairanlah jika kajian itu juga menunjukkan wujudnya tanggapan salah yang berleluasa dalam kalangan warga muda Malaysia membabitkan kehamilan, keganasan seksual dan STI.

“Kaji selidik ini menyediakan data penting dan amat diperlukan bagi membolehkan banyak pihak meningkatkan program intervensi bagi memperkasakan belia.

“Dengan adanya maklumat ini, kita boleh mengenal pasti masalah atau isu sebenar yang berlaku pada golongan muda membabitkan hal SRH lalu bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk memastikan program kesedaran dapat dijalankan serta memenuhi keperluan semasa,” ujar Timbalan Menteri Kemajuan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun ketika perasmian hasil kaji selidik SRH itu, minggu lalu.

Bagi Durex Malaysia, jenama yang dimiliki Reckitt Benckiser, kaji selidik seperti ini membolehkan mereka mengenal pasti program yang sesuai berteraskan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

“Menerusi penyediaan asas yang kukuh, golongan muda Malaysia boleh membuat keputusan dengan lebih baik, menjalani kehidupan yang lebih sihat dan membina masyarakat yang lebih sejahtera.

“Jadi perlunya pihak kami meneruskan usaha seperti ini dengan menyokong, mendidik dan membuat kajian berterusan membabitkan SRH agar lebih ramai warga muda faham mengenai kesihatan seksual mereka,” jelas Pengarah Pemasaran Reckitt Benckiser, Matias Caride.

Kajian Kesihatan Seksual dan Reproduktif Warga Muda Malaysia ini adalah sebahagian daripada komitmen Durex Malaysia untuk mempromosikan pengetahuan kesihatan seksual serta reproduktif dalam kalangan warga muda menerusi penyelidikan, pendidikan juga sokongan berterusan.

Durex berulang kali menyeru lebih banyak pertubuhan, tidak kira awam dan swasta untuk menyertai mereka dalam usaha merapatkan jurang pengetahuan kesihatan seksual serta reproduktif dalam kalangan belia.

Sejak beberapa tahun lalu, Durex Malaysia aktif dalam kempen pendidikan rakan sebaya dikenali #SomebodyLikeMe Choose2Protect.

Kempen yang dijalankan pada 2013 hingga 2015 ini turut disokong Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Persekutuan Persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM) dan AIESEC Malaysia.

Untuk maklumat lanjut dan keputusan penuh Kajian Kesihatan Seksual dan Reproduktif Warga Muda Malaysia, bolehlah mengakses laman sesawang di www.durex.com.my.

Antara penemuan penting daripada kajian itu:

Mitos mengenai kehamilan

Disebabkan tahap pengetahuan yang rendah mengenai kesihatan seksual dan reproduktif ini, sebilangan besar responden mempunyai kepercayaan salah dan tidak tahu cara sebenar untuk melindungi diri mereka daripada kehamilan yang tidak dirancang.

Sebagai contoh, 42 peratus mengatakan kaedah penarikan awal (withdrawal) ialah cara perlindungan yang berkesan daripada kehamilan tidak dirancang.

Hakikatnya, risiko hamil masih wujud walaupun menggunakan kaedah itu. Sebanyak 35 peratus responden pula percaya wanita tidak boleh hamil selepas melakukan hubungan seks buat kali pertama.

Tidak faham fungsi tubuh

Umumnya ramai yang tahu mengenai fungsi tubuh mereka namun keputusan kajian menunjukkan sebaliknya.

Sebagai contoh, ketika ditanya sama ada cara berdiri ketika hubungan seks akan mencegah kehamilan, 51 peratus responden wanita menjawab tidak tahu berbanding 20 peratus daripada responden lelaki.

Perlindunganbukan keutamaan

Keputusan kaji selidik oleh Perspective Strategies Sdn Bhd itu juga menunjukkan golongan muda Malaysia tidak tahu bagaimana untuk melindungi diri ketika melakukan hubungan seks.

Sebanyak 19 peratus percaya menggunakan dua kondom pada masa yang sama lebih berkesan.

Sebenarnya, menggunakan dua kondom ketika aktiviti seksual boleh menyebabkan kondom terkoyak akibat geseran.

Ini membawa kepada risiko yang lebih besar seperti STI dan kehamilan yang tidak dirancang. Sebanyak 25 peratus responden pula berpendapat, perlindungan seperti kondom dan pil perancangan kehamilan tidak diperlukan apabila adanya sikap saling percaya sesama pasangan.

Hakikatnya, golongan muda ini perlu dididik segera dalam apa jua aktiviti seksual, ia bukan lagi membabitkan satu isu setia pada pasangan, tetapi lebih kepada isu kesihatan dan keselamatan diri sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2016 @ 5:02 AM