Noor Hidayah Tanzizi


Bota: Perak akan melakukan kajian terperinci berkaitan kemiskinan haid dalam kalangan remaja perempuan dan wanita di negeri ini termasuk komuniti Orang Asli.

Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, masalah itu berlaku di beberapa kawasan di negeri ini termasuk di perkampungan Orang Asli.

Katanya, kajian terperinci membabitkan 2,000 wanita dan remaja itu bagi mendapatkan data spesifik sekali gus menambah baik bantuan bagi menangani masalah itu serta bagi mengkaji isu dan kesan yang dihadapi akibat kemiskinan haid.

"Masalah pertama (bagi komuniti Orang Asli) adalah sukar mendapatkan produk kelengkapan haid disebabkan jarak kedai yang jauh.

"Seperti di kawasan Suak Padi mereka tiada masalah air dan mempunyai bekalan air bersih jadi mungkin untuk mendapatkan produk itu apabila kecemasan (saja yang agak sukar)," katanya selepas merasmikan Jelajah Kasih Keluarga Malaysia peringkat Perak Tahun 2022 di Kampung Orang Asli Suak Padi, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Mohd Nizar Zakaria dan Ketua Pengarah LPPKN Abdul Shukor Abdullah.

Wan Norashikin berkata, selain itu, pihaknya mendapati kekangan kewangan turut menjadi faktor kemiskinan haid di beberapa tempat lain.

Justeru katanya, kerajaan negeri tampil dengan program Kit Sanitasi Wanita Negeri Perak (PROKis) bagi membantu mereka dari golongan B40 yang terpilih dengan pemberian bekalan produk kelengkapan haid.

"Program PROKis akan dilaksanakan di 12 daerah seluruh negeri ini dengan mensasarkan seramai 2,000 penerima," katanya.

Pada program berkenaan, Wan Norashikin turut menyampaikan Kit Dana KASIH berupa lampin pakai buang bayi, barang mandian dan produk penjagaan dalam pantang kepada 50 keluarga yang baru menimbang cahaya mata.

Program turut diselangi dengan ceramah subsidi mamogram dan ujian HPV DNA, ceramah pengurusan tekanan dan emosi keluarga, ceramah pendidikan kesihatan reproduktif dan pengurusan haid.

Sebelum ini media melaporkan, Perak bercadang menempatkan mesin layan diri sanitari di kawasan strategik, sebagai antara langkah menangani isu kemiskinan haid dalam kalangan remaja dan wanita dari golongan keluarga B40 negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 4:44 PM
DATUK Dr Wan Norashikin Wan Noordin (kanan) memberi menyampaikan Kit Dana KASIH kepada penerima. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
DATUK Dr Wan Norashikin Wan Noordin (kanan) memberi menyampaikan Kit Dana KASIH kepada penerima. FOTO Noor Hidayah Tanzizi