BERGAMBAR berlatarkan Gunung Kinabalu.
BERGAMBAR berlatarkan Gunung Kinabalu.
Muhamaad Razis Ismail

SABAH adalah negeri kedua yang terbesar di Malaysia selepas Sarawak.

Dengan keluasan sehingga 73,904 kilometer persegi, Negeri Di Bawah Bayu ini bukan sahaja memiliki pelbagai lokasi yang menarik malah turut kaya dengan adat dan budaya.

Bagi pengembara bebas, Mohd Zaki Mohd Yakin, Sabah memiliki keunikan tersendiri dan tidak pernah jemu untuk terus meneroka negeri itu biarpun sudah beberapa kali berbuat demikian.

Baru-baru ini, dia membuat kelainan mengembara bersama rakannya mengelilingi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan selama 14 hari membabitkan perjalanan sejauh 3,025 kilometer.

Menariknya, pengembaraan dilakukan dengan memandu sendiri kereta Perodua Myvi merah miliknya untuk ke 35 daerah di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Mohd Zaki yang lebih dikenali sebagai Budak Merah berkata, pengembaraan bermula pada 17 April lalu dari Semporna membabitkan 10 laluan berbeza sebelum berakhir pada 30 April lalu di lokasi sama.

"Sebelum memulakan pengembaraan, saya sudah membuat persediaan rapi untuk memastikan perjalanan lancar tanpa sebarang masalah besar.

"Perkara pertama yang dilakukan adalah memastikan kereta yang digunakan itu dalam keadaan baik kerana perlu menempuh perjalanan jauh dan mencabar di kebanyakan kawasan bukit bukau, laluan selekoh tajam dan sempit.

"Saya dan rakan mengkaji laluan yang sesuai, lokasi perlu dilawati serta membuat pengiraan bajet supaya perjalanan tidak mengambil masa yang lama," katanya.

Menurutnya, antara tujuan utama dia melaksanakan pengembaraan itu untuk mengenali negeri kelahirannya dengan lebih mendalam selain membantu mempromosikan keunikan Sabah kepada masyarakat luar.

"Negeri ini kaya dengan keindahan alam dan terdapat beberapa permata tersembunyi yang perlu perkenalkan kepada orang luar seperti ngarai Daralamas di Ranau, Gua Gomantong di Kinabatangan dan Pantai Batu Luang di Kuala Penyu.

MENIKMATI keindahan ngarai sungai Daralamas.
MENIKMATI keindahan ngarai sungai Daralamas.

"Pada masa sama, saya ingin mencabar diri untuk mengelilingi negeri kedua terbesar di Malaysia ini dalam masa singkat selain mengambil peluang mengabadikan kenangan di tempat menarik untuk dikongsikan di media sosial," katanya.

Mengulas lanjut, sepanjang pengembaraan ini, dia berdepan banyak pengalaman yang tidak dapat dilupakan termasuk menempuh pelbagai laluan mencabar.

"Antaranya, saya perlu memandu di laluan batu kelikir dan berliku sejauh 50 kilometer untuk ke ngarai sungai Daralamas di Kampung Tiang, Ranau selepas membuat keputusan di saat akhir ke lokasi terbabit. Keputusan untuk meredah laluan mencabar itu amat berbaloi, apabila kami dihidang dengan pemandangan menakjubkan di situ.

"Selain itu, ketika menuju ke Keningau, saya kena memandu di jalan berbukit dan berliku yang perlukan kemahiran mengendalikan gear dan brek.

"Di Kimanis pula, saya perlu mengharungi jalan berbukit dan berkabus di Banjaran Crocker dan menempuh laluan mencabar serta gelap di Sipitang pada sebelah malam.

"Saya bersyukur kerana sepanjang pengembaraan ini, kereta tidak berdepan sebarang masalah biarpun terpaksa melalui pelbagai cabaran" katanya.

Katanya, sepanjang pengembaraan itu, dia dan rakannya menginap di hotel dan inap desa untuk mendapatkan lebih keselesaan selepas menempuh perjalanan jauh setiap hari.

"Ikut perancangan, kami ingin berkhemah di Kota Belud untuk menikmati keindahan alam semula jadi namun terpaksa dibatalkan kerana hujan lebat," katanya.

Mohd Zaki berkata, melalui pengembaraan ini, dia melihat Sabah mempunyai keunikan tersendiri sebagai destinasi pelancongan terkemuka.

"Saya bersyukur kerana diberi peluang menikmati keunikan dan memahami lebih mendalam negeri kelahiran sendiri. Pada masa sama, saya dapat belajar menghargai keindahan alam yang dikurniakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 7:00 AM