Cheng Boon dan Roslina dipenjara sembilan tahun selepas mengaku bersalah memiliki dadah. FOTO Alias Abd Rani
Cheng Boon dan Roslina dipenjara sembilan tahun selepas mengaku bersalah memiliki dadah. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani


Muar: Pasangan kekasih terlepas hukuman sebat sebaliknya dipenjara masing-masing 16 dan sembilan tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki dadah, lima tahun lalu.

Tertuduh, Ng Cheng Boon, 57, dan Roslina Sahar, 47, membuat pengakuan itu melalui pertuduhan pilihan di hadapan Hakim Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid.

Ng yang juga duda berhadapan empat pertuduhan manakala Roslina ibu tunggal, satu pertuduhan.

Mengikut pertuduhan pilihan pertama, Ng dan Roslina bersama-sama memiliki methampethamin dengan berat bersih 278.64 gram (g) di sebuah rumah dekat Taman Bakri Indah, di sini, pada 12.30 tengah hari, 28 Januari 2019.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang dihukum mengikut Seksyen 39A (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hukumannya ialah penjara seumur hidup atau suatu tempoh kurang daripada lima tahun dan juga sebatan tidak kurang 10 kali.

Bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat, Ng didakwa memiliki methampetahmin, heroin dan ketamin masing-masing seberat 9.32g, 0.43g, dan 0.51g dengan semua kejadian di hadapan sebuah kedai aksesori kereta, Jalan Temenggong Ahmad, pada 11.45 pagi, 28 Januari 2019.

Kesalahan kesemua pertuduhan ini, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12 (2) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3) akta sama, denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Syamilah Jalaludin manakala Cheng Boon diwakili peguam R K Bala dan Salmi Hamdan Sabran mewakili Roslina.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sekurang-sekurangnya 10 tahun sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua serta eksibit yang dikemukakan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun terhadap Ng bagi pertuduhan pertama.

Pertuduhan kedua dan ketiga masing-masing dua tahun manakala keempat, tiga tahun manakala Roslina dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun.

Mahkamah memutuskan semua hukuman terbabit berkuatkuasa pada tarikh kedua-dua tertuduh ditahan, 28 Januari 2019.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh terselamat daripada sebatan memandangkan Cheng Boon sudah berusia melebihi 50 tahun manakala Roslina, seorang wanita selari dengan Seksyen 289 (a) dan (c) Kanun Prosedur Jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 6:46 PM