Firdaus Wong. FOTO Arkib NSTP
Firdaus Wong. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Petaling Jaya: Polis sudah merakam keterangan pendakwah, Firdaus Wong susulan tular video yang menasihatkan seorang lelaki mengenai cara menangani permintaan remaja bawah umur untuk memeluk Islam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata, proses berkenaan dilakukan di Sentul, semalam.

"Kita (polis) sudah rakam keterangan lelaki terbabit semalam.

"Polis akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) sebaik siasatan lengkap," katanya Ketika dihubungi Harian Metro.

Akhbar ini semalam melaporkan, polis membuka kertas siasatan ke atas Firdaus susulan tular video yang menasihatkan seorang lelaki mengenai cara menangani permintaan remaja bawah umur untuk memeluk Islam.

Shahrulnizam dilaporkan berkata, setakat ini empat laporan polis sudah diterima dan tiga individu sudah dirakam percakapan.

Katanya, permohonan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ke atas TikTok yang dilihat oleh pengadu dilakukan bagi tujuan mendapatkan pengendali dan pemiliknya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan, Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 6:53 PM