JAMBATAN Victoria, Perak antara lokasi menarik yang dilawati.
JAMBATAN Victoria, Perak antara lokasi menarik yang dilawati.
Muhamaad Razis Ismail


Melancong dan mengembara antara terapi paling berkesan kepada mereka yang terlalu sibuk bekerja untuk meredakan segala tekanan dihadapi.

Perkara sama turut dilakukan Wan Syamilah Wan Ismail, 46, yang mengembara secara solo ke tujuh negeri di Semenanjung selama hampir sebulan dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard 3.0.

Lebih unik, ibu kepada lima anak ini turut membawa seekor kucing yang dinamakan sebagai Murphy untuk menemaninya sepanjang pengembaraan yang bermula 8 Januari lalu.

Wan Syamilah berkata, rancangan untuk mengembara itu dibuat selepas dia mengambil keputusan berhenti kerja sebagai pengurus projek.

"Sejak 2019, saya bekerja tanpa mendapat rehat yang sempurna sehingga menjejaskan kesihatan.

"Selepas berhenti kerja, saya ingin menenangkan diri dengan mengembara ditemani seekor kucing kesayangan berikutan suami terpaksa bekerja.

"Dengan izin suami dan restu daripada ibu, saya memulakan pengembaraan pada 8 Januari lalu dari rumah di Ampang, Kuala Lumpur," katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, antara sebab dia membawa kucing kerana ingin mengeratkan hubungan dengan haiwan itu yang baharu dipelihara sejak Disember tahun lalu.

WAN Syamilah bersama kucing kesayangannya.
WAN Syamilah bersama kucing kesayangannya.

"Di awal perjalanan, Murphy agak panik dan ketakutan, namun lama-kelamaan ia dapat membiasakan diri dan aktif dalam kenderaan sama ada dalam keadaan statik ataupun bergerak.

"Pendapat saya, kucing adalah peneman sejati. Gelagat Murphy mampu membuat saya tertawa setiap hari selain peneman di kala sunyi," katanya.

Menurutnya, untuk pengembaraan ini, dia tidak membuat perancangan yang terperinci dan hanya bergerak mengikut gerak hati.

"Saya cuma menetapkan tarikh ketibaan saya di Pulau Pinang pada 19 Januari lalu dan menamatkan pengembaraan selewat-lewatnya 31 Januari lalu.

"Suami yang mengetahui saya tidak mempunyai perancangan perjalanan, mencadangkan supaya memulakan perjalanan melalui laluan pantai timur," katanya.

MENIKMATI keindahan matahari terbit di Tasik Kenyir.
MENIKMATI keindahan matahari terbit di Tasik Kenyir.

Sebelum memulakan pengembaraan, antara persediaan yang dilakukan adalah memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik.

"Saya turut membawa Murphy ke klinik haiwan untuk pemeriksaan kesihatan dan mengenal pasti perjalanan serta lokasi menarik yang akan dilawati," katanya.

Katanya, sedikit pengubahsuaian turut dibuat kepada kenderaan untuk keselesaan sepanjang pengembaraan.

"Kenderaan ini mempunyai empat tempat duduk. Jadi, saya guna ruang tengah yang agak luas untuk menyimpan barang.

"Selain itu, saya turut menggunakan rak bumbung supaya khemah boleh dipasang di atas bumbung kenderaan untuk mengelakkan haiwan berbisa," katanya.

MENCABAR diri mengembara secara solo.
MENCABAR diri mengembara secara solo.

Wan Syamilah berkata, sepanjang pengembaraan ini, dia memilih untuk menginap di pelbagai lokasi mengikut kesesuaian termasuk hotel, resort dan rumah rakan serta saudara-mara.

"Selain itu, saya tidur dalam khemah yang dipasang atas rak bumbung kenderaan sudah diubah suai. Kucing saya tinggalkan dalam kenderaan yang turut dilengkapi kipas.

"Kadangkala saya akan membawanya ke atas untuk bermain-main bersama saya dalam khemah," katanya.

Jelasnya, antara perkara yang perlu dititikberatkan adalah penjagaan dan keselesaan kucing dengan memastikan najis dibuang pada setiap waktu.

"Cabaran lain adalah untuk mendapatkan tempat bermalam yang sesuai dengan kenderaan saya selain perlu memandu kenderaan melalui jalan yang sempit," katanya.

SINGGAH di Pantai Senok, Kelantan.
SINGGAH di Pantai Senok, Kelantan.

Beliau turut berkongsi pengalaman menarik sepanjang pengembaraan itu apabila secara tiba-tiba mendapat tawaran bekerja di sebuah syarikat besar.

"Tanpa disangka saya dihubungi sendiri seorang ketua pegawai eksekutif yang menawarkan pekerjaan di syarikatnya.

"Saya beristighfar dan memanjatkan rasa syukur kepada Allah di atas rezeki yang diberikan. Benar seperti dikatakan doa orang bermusafir mudah dimakbulkan," katanya.

Katanya, secara keseluruhan, pengembaraan sejauh 1,985 kilometer ini menjadikannya lebih kuat dari segi mental dan emosi.

"Saya menjadi lebih berani, tenang dan lebih mudah untuk menghadapi cabaran serta menyelesaikan masalah yang dihadapi," katanya.

Wan Syamilah berkata, dia merancang untuk mengulangi aktiviti ini ke beberapa tempat yang belum dilawati bersama suami yang turut mempunyai minat sama.

BERKHEMAH di Jeti Awam, Tasik Banding, Perak.
BERKHEMAH di Jeti Awam, Tasik Banding, Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 7:00 AM