MENIKMATI keindahan alam semula jadi di Air Terjun Susung, Sarawak.
MENIKMATI keindahan alam semula jadi di Air Terjun Susung, Sarawak.
ANTARA lokasi 'outfit of the day' (OOTD) menarik di Cameron Highlands, Pahang.
ANTARA lokasi 'outfit of the day' (OOTD) menarik di Cameron Highlands, Pahang.
Muhamaad Razis Ismail


MALAYSIA cukup terkenal sebagai sebuah negara yang menjadi destinasi pilihan pelancong dari dalam mahupun luar negara.

Dari Perlis sehingga Sabah, setiap negeri memiliki keunikan dan tarikan tersendiri sama ada dari segi keindahan alam semula jadi, budaya, makanan dan sebagainya.

Pakej lengkap yang dimiliki setiap negeri ini menjadi 'ramuan' terbaik untuk menarik kehadiran pelancong.

Jadi tidak hairan, setiap lokasi menarik ini sentiasa menjadi tumpuan dalam kalangan pelancong terutama pada hujung minggu dan cuti persekolahan.

Bagi pengembara bebas, Mohd Zaki Mohd Yakin kebanyakan tempat menarik di negara ini bukan asing kepadanya kerana sering dikunjungi disebabkan minat mendalam terhadap aktiviti melancong.

Dia tidak pernah jemu biarpun sudah beberapa kali ke lokasi terbabit kerana setiap pengembaraan menyajikan pengalaman berbeza.

Baru-baru ini, Mohd Zaki bersama rakannya, Azni Gain membuat kelainan dengan mengembara ke seluruh negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak menggunakan kereta Perodua Myvi miliknya selama 30 hari bermula 6 Ogos lalu dari Kuala Lumpur.

Lebih menarik, sebagai bukti tiba di setiap negeri, Mohd Zaki bergambar dengan memakai baju merah yang menjadi 'trademarknya' di lokasi menarik sambil mengibarkan bendera negeri.

Selain untuk kepuasan dapat mencabar diri, 'projek' ini dilaksanakan sebagai salah satu cara dia mempromosikan lokasi menarik di setiap negeri kepada pelancong di dalam dan luar negara.

Mohd Zaki berkata, sebenarnya dia sudah banyak kali mengembara di negara ini, namun dibuat dalam tempoh tertentu sahaja kerana kekangan masa.

MENGABADIKAN kenangan di Jambatan Angkat, Terengganu.
MENGABADIKAN kenangan di Jambatan Angkat, Terengganu.

Katanya, bagaimanapun untuk mengembara kali ini, dia ingin membuat kelainan dengan memandu ke semua negeri di Malaysia selama 30 hari.

"Ini satu cabaran kepada diri sendiri dan pengalaman baharu untuk menguji kemampuan saya serta rakan memandu ke 14 negeri dalam tempoh singkat.

"Saya paling tidak sabar untuk memandu di Sabah dan Sarawak kerana ini pengalaman pertama saya berbuat demikian di dua negeri itu dengan kereta sendiri," katanya.

Menurutnya, antara objektif utama, pengembaraan ini dijalankan adalah untuk mempromosikan beberapa tempat menarik di Malaysia.

"Secara peribadi, saya berpendapat terlalu banyak tempat menarik dalam Malaysia yang perlu kita terokai terlebih dahulu sebelum melancong ke luar negara" katanya.

Jelasnya, sebelum memulakan perjalanan, dia memastikan kereta yang dipandu dalam keadaan baik kerana perlu menempuh perjalanan jauh.

"Perancangan ini sebenarnya hanya mengambil masa seminggu. Saya dan rakan mengkaji laluan sesuai, lokasi yang perlu dilawati serta membuat pengiraan bajet supaya perjalanan tidak mengambil masa lama.

DI Taman Negara Bako, Sarawak yang kaya dengan flora dan fauna.
DI Taman Negara Bako, Sarawak yang kaya dengan flora dan fauna.

"Untuk pengembaraan ini, kami menetapkan dua minggu sahaja di Semenanjung dan baki dua minggu lagi di Borneo memandangkan dua negeri ini sangat besar selain memerlukan masa yang banyak," katanya.

Berkongsi antara pengalaman menarik sepanjang pengembaraan ini, Mohd Zaki teruja memandu di Borneo.

"Sarawak adalah negeri terbesar di Malaysia dan mengambil masa tiga hari untuk sampai ke destinasi yang dituju. Sementara itu, di Sabah pula, kami perlu berhadapan jalan berbukit dan terlalu banyak selekoh memberikan kami pengalaman yang jarang peroleh di Semenanjung.

"Saya bersyukur kerana sepanjang pengembaraan ini, kereta tidak berdepan sebarang masalah biarpun kadangkala terpaksa melalui laluan yang rosak dan banjir," katanya.

Akuinya, bukan satu perkara mudah untuk memandu ke semua negeri kerana ia menuntut komitmen tinggi.

"Bagaimanapun, dengan berbekalkan semangat saya sedaya upaya untuk menyelesaikan misi ini, sekali gus dapat membuktikan bahawa tiada yang mustahil, selagi kita berusaha untuk merealisasikan apa yang diidamkan," katanya.

MENGIBAR bendera Negeri Sembilan di puncak Bukit Batu Sawa.
MENGIBAR bendera Negeri Sembilan di puncak Bukit Batu Sawa.

Tambahnya selepas memuat naik pengembaraannya di media sosial, ramai yang teruja dan memberi maklum balas positif.

"Mereka kagum dan ada yang berhasrat ingin melakukan pengembaraan sama apabila mempunyai kelapangan masa. Malah, ada juga yang tertarik dengan lokasi menarik yang kami kunjungi kerana tidak mengetahuinya sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 6:30 AM