PENGURUS pasukan Selangor FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid. FOTO ARKIB NSTP
PENGURUS pasukan Selangor FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid. FOTO ARKIB NSTP
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Selangor FC akan melihat secara menyeluruh sebelum membuat keputusan sama ada akan membawa kes berkaitan keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) atau sivil.

Pengurus pasukan Selangor FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid berkata, mereka tidak boleh terus bertindak, sebaliknya perlu mengkaji lebih mendalam berkenaan hukuman dikenakan MFL kepada Red Giants hingga perlu membayar RM100,000 serta ganti rugi lain.

"Selangor FC sedang menilai secara keseluruhan denda dan penalti yang dikenakan kepada Selangor FC dan kemungkinan kewajaran tindakan susulan yang sesuai bagi menentukan hala tuju isu sedang dihadapi kelab.

"Kami menjunjung tinggi titah Tuanku Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) selaku penaung kelab mengenai hukuman yang telah dikenakan kepada kelab baru-baru ini oleh MFL dan berusaha memenuhi hasrat dan aspirasi Tuanku di dalam penglibatan di dalam sukan bola sepak," katanya kepada Arena Metro.

Selain itu, beliau berkata, Selangor FC akan mengambil kira pelbagai pendapat agar keputusan diambil nanti akan tidak akan merugikan pasukan sendiri.

Katanya, sokongan daripada pelbagai terutama peminat tempatan sangat dihargai kerana itu secara tidak langsung memberi bantuan psikologi kepada kelab.

"Kami menghormati pandangan dan semua pihak berkepentingan di dalam isu ini dan sentiasa mencari jalan penyelesaian terbaik dengan tidak meninggalkan matlamat utama penglibatan kelab di dalam Liga Malaysia (Liga M).

"Kami amat menghargai sokongan dan usaha kerajaan negeri yang sentiasa menyokong sukan bola sepak dan penglibatan kelab di dalam Liga M.

"Begitu juga sokongan tanpa henti daripada penyokong dan peminat pasukan Selangor FC yang sentiasa mahukan pasukan dalam keadaan terbaik di Liga M," kata Mahfizul.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 7:19 PM