PERJALANAN jauh selesa dengan Honda Accord 2.0.
PERJALANAN jauh selesa dengan Honda Accord 2.0.

Taman Negeri Bukit Panchor, Pulau Aman dan Nibong Tebal Firefly Watch di Sungai Kerian adalah segi tiga destinasi pelancongan yang amat menarik untuk dilawati khasnya bagi pe­ngunjung ke Pulau Pinang.

Bagi mereka yang memulakan perjalanan awal pagi dari Lembah Klang, boleh memulakan lawatan de­ngan singgah di Taman Negeri Bukit Panchor, Nibong Tebal yang menawarkan keindahan alam semula jadi.

Menggunakan laluan Lebuhraya PLUS, pengunjung perlu mengikuti susur keluar di Plaza Tol Jawi dan memandu kira-kira 25 minit untuk sampai ke Taman Negeri Bukit Panchor dan keletihan memandu pastinya hilang selepas melihat keindahan flora dan fauna di situ.

Selain menghirup udaranya yang nyaman, pe­ngunjung pastinya tidak terasa waktu berlalu pantas berikutan suasana sejuk serta redup daripada 'kanopi semula jadi' pokok hutan yang menjadi pelindung daripada panas terik matahari.

Taman yang diuruskan Jabatan Perhutanan Pulau Pinang itu dibuka seawal jam 7 pagi hingga 6 petang dan turut menjadi destinasi pilihan masyarakat setempat beriadah terutama pada hujung minggu.

Pengunjung boleh meneroka keindahan taman itu dengan menyusuri denai hutan dan taman rimba untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Sekiranya risau terse­sat, pegawai di pusat maklumat sedia membantu selain merujuk papan tanda disediakan.

Anda yang ingin me­ngembalikan tenaga selepas penat meneroka kawasan taman itu boleh berhenti di pondok rehat, selain ke tandas dan surau berhampiran untuk solat.

Jika mahu menikmati hidangan istimewa untuk makan tengah hari, pengunjung boleh memandu ke Jeti Batu Musang untuk merasakan sendiri keenakan mi udang di Restoran Terapung Pulau Aman yang menjadi tarikan utama pelancong ke pulau itu.

Pengunjung boleh menggunakan perkhidmatan bot penambang dan menempuh perjalanan hanya 10 minit sebelum sampai ke Pulau Aman dan terus ke restoran yang terletak beberapa meter dari jeti.

Sekiranya cuaca cerah, pengunjung boleh melihat sendiri pemandangan indah perkampungan nelayan dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muad'zam Shah (JSAHMS) ketika menaiki bot berkenaan.

Selesai menjamu selera, pengunjung perlu meneroka keunikan Pulau Aman seperti Telaga Emas, pokok sukun paling tua di negara ini dan gua lanun selain membeli makanan laut segar seperti ikan, udang dan ketam sebagai buah tangan.

Menjelang senja, luang­kan masa seketika di Jeti Batu Musang untuk melihat keindahan suasana matahari terbenam di kawasan itu dan abadikannya dengan mengambil gambar sebagai tatapan untuk kenang-kenangan.

Perjalanan kemudian diteruskan ke pekan Nibong Tebal menuju ke Nibong Tebal Firefly Watch di Su­ngai Kerian untuk melihat keindahan kelip-kelip yang menjadikan kawasan itu sebagai habitat untuk membiak.

Meluangkan masa di destinasi pelancongan itu amat berbaloi kerana pengunjung pastinya akan memberikan sepenuh tumpuan untuk melihat sendiri cahaya daripada serangga itu yang seumpama menyambut kehadiran mereka.

Pengembaraan selama 15 jam itu jelas tidak memenat­kan dengan kecanggihan teknologi pemanduan jentera Honda Accord 2.0 dengan ruang dalaman yang luas dan ia memberi keselesaan kepada pemandu selain penumpang belakang tidak perlu berhimpit.

Rekaan dalaman jentera itu yang mesra pengguna serta dilengkapi aksesori canggih termasuk kawalan audio dan paparan maklumat pada stereng sedikit seba­nyak mengurangkan beban pemandu dan boleh menumpukan perhatian pada pemanduan di jalan raya.

Paparan skrin sentuh lapan inci bukan sahaja memberikan kepuasan untuk mendengar dan menonton klip video kegemaran, malah memberikan lebih keyakinan kepada pemandu untuk mengundur terutama pada sudut sempit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 5:00 AM