FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Syah Rul Aswari Abdullah


Laporan bahawa Amerika Syarikat (AS) yang mahu mengharamkan aplikasi TikTok di negara itu bukan berita baharu. Donald Trump ketika menjadi Presiden sudah menandatangani perintah eksekutif bagi pengharaman aplikasi ini.

Namun usaha pada masa itu terbantut apabila hakim persekutuan mempersoalkan bagaimana tindakan itu akan memberi kesan kepada kebebasan bersuara dan menyekat inisiatif berkenaan.

Ura-ura pengharaman TikTok pada masa itu dengan pantas membuatkan banyak pihak 'panas punggung'. Menurut laman web Statista, TikTok kini digunakan oleh 121.5 juta penduduk AS.

Jumlah itu seakan tiga kali penduduk Malaysia dan hampir separuh daripada jumlah populasi di Indonesia. Lebih menarik, kira-kira 50 peratus pengguna TikTok di AS adalah golongan muda iaitu mereka yang berusia antara 18 hingga 34 tahun.

Baru-baru ini, isu pengharaman TikTok di AS kembali dilaporkan media antarabangsa. Presiden Joe Biden dilaporkan sudah menandatangani rang undang-undang yang memerlukan pemilik TikTok China untuk menjual operasi aplikasi media sosial itu di AS atau akan diharamkan di negara berkenaan. Ia selepas Senat meluluskan undang-undang itu.

Secara ringkas, rang undang-undang itu memberi syarikat pemilik TikTok yang berpangkalan di Beijing, ByteDance, dengan tempoh 270 hari untuk menjual operasi aplikasinya di AS. Jika ByteDance kelihatan hampir menyelesaikan perjanjian apabila tarikh akhir itu semakin hampir, presiden boleh membenarkan lanjutan selama 90 hari lagi.

Jika ByteDance gagal menjalankan jualan dalam tempoh ditetapkan (termasuk tempoh lanjutan), maka ia akan menghadapi larangan di AS, termasuk sekatan di kedai aplikasi dan hos web daripada mengedarkan TikTok.

Jadi apa sebab AS kembali mahu mengharamkan TikTok? The Guardian melaporkan penggubal undang-undang dan pihak berkuasa AS bimbang data daripada pengguna AS TikTok boleh diakses oleh negara China di bawah undang-undang keselamatan negara.

Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan, Christopher Wray mendakwa, ByteDance 'dikawal oleh kerajaan China' dan memberi amaran bahawa pihak berkuasa Beijing boleh mempengaruhi orang ramai dengan memanipulasi algoritma yang mengatur pandangan orang mengenai TikTok serta membenarkan kerajaan mengumpul data pengguna untuk 'operasi pengintipan tradisional.'

Ia alasan sama digunakan oleh pentadbiran Trump ketika ia mahu mengharamkan TikTok. Aplikasi ini dilihat boleh memberi ancaman kepada keselamatan negara. TikTok juga dilihat boleh menjadi satu bentuk 'senjata' apabila berupaya untuk mempengaruhi pendapat awam apabila ia boleh membesarkan atau meredakan apa juga isu.

TikTok bagaimanapun menafikan semua tuduhan ini termasuk dakwaan Kerajaan China cuba mengakses data pengguna AS dan mengatakan ia akan menolak sebarang permintaan sedemikian. Ketika penampilan di hadapan jawatankuasa Kongres pada tahun lalu, Ketua Eksekutif TikTok, Shou Zi Chew, berkata: "Biar saya nyatakan ini dengan tegas ByteDance bukan ejen China atau mana-mana negara lain."

Untuk rekod, AS bukanlah satu-satunya negara yang cuba mengharamkan TikTok atas alasan keselamatan. India melakukannya pada 2020. Negara itu bertindak keras terhadap ratusan aplikasi milik China, mendakwa sebahagiannya mereka menghantar data pengguna secara rahsia ke pelayan asing.

Negara dan badan kerajaan lain, termasuk United Kingdom dan Parlimennya; Australia, Kanada, cabang eksekutif Kesatuan Eropah, Perancis dan Parlimen New Zealand, melarang aplikasi itu daripada peranti rasmi. Menteri hal ehwal digital Taiwan, baru-baru ini, mengisytiharkan TikTok sebagai produk berbahaya yang mewakili ancaman
keselamatan negara.

Berbalik kepada perkembangan di AS, TikTok nampak gayanya tidak mahu akur dengan rang undang-undang yang diluluskan Senat itu. Sebaliknya, ia akan mencabar perintah dalam rang undang-undang berkenaan di Mahkamah Agung, dengan harapan keputusan akan sekali lagi berpihak kepadanya.

Namun, sesuatu yang menarik juga adalah biarpun berdepan dengan risiko pengharaman di AS, semua pihak tidak dapat menyangkal populariti aplikasi ini. Buktinya, Biden dan Trump sendiri mempunyai akaun rasmi TikTok, ketika kedua-duanya bertanding kali kedua untuk merebut jawatan sebagai presiden AS.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2024 @ 7:03 AM