AFP

Washington: Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) meluluskan rang undang-undang pada Rabu yang akan memaksa TikTok melepaskan diri daripada pemilik China atau diharamkan di negara itu.

Perwakilan mengundi 352 menyokong undang-undang yang dicadangkan dan 65 menentang, dalam momen perpaduan yang jarang berlaku di Washington ketika suasana politik dalam keadaan berpecah-belah di negara itu.

"Undi dwipartisan hari ini menunjukkan penentangan Kongres terhadap percubaan Komunis China untuk mengintip dan memanipulasi rakyat Amerika, dan menandakan keazaman kami untuk menghalang musuh," kata Speaker Dewan Rakyat Republikan Mike Johnson selepas pengundian.

"Saya menggesa Senat meluluskan rang undang-undang ini dan menghantarnya kepada Presiden supaya beliau boleh menandatanganinya menjadi undang-undang," tambahnya.

Nasib rang undang-undang itu samar-samar di Senat yang tampak lebih berhati-hati apabila beberapa tokoh penting bimbang ia sebagai langkah drastik terhadap aplikasi yang mempunyai 170 juta pengguna di AS.

Presiden Joe Biden akan menandatangani rang undang-undang itu, yang secara rasmi dikenali sebagai Protecting Americans (Melindungi Rakyat Amerika) daripada Foreign Adversary Controlled Applications Act.

IBU pejabat TikTok Culver City, California. FOTO AFP
IBU pejabat TikTok Culver City, California. FOTO AFP

Melindungi rakyat Amerika daripada aplikasi kawalan musuh asing menjadi undang-undang jika ia sampai ke meja Presiden, menurut Rumah Putih.

"Proses ini adalah rahsia dan rang undang-undang itu (Foreign Adversary Controlled Applications Act) disekat kerana satu sebab: ia adalah larangan," kata jurucakap TikTok dalam satu kenyataan.

"Kami berharap Senat akan mempertimbangkan fakta, mendengar konstituen mereka, dan menyedari kesannya terhadap ekonomi, tujuh juta perniagaan kecil, dan 170 juta rakyat Amerika yang menggunakan perkhidmatan kami," tambah jurucakap itu.

Langkah itu yang hanya mendapat momentum dalam beberapa hari lalu, memerlukan syarikat induk TikTok, ByteDance untuk menjual aplikasi itu dalam tempoh 180 hari atau melihatnya dihalang daripada gedung aplikasi Apple dan Google di AS.

Ia juga memberi Presiden kuasa untuk menetapkan permohonan lain sebagai ancaman keselamatan negara jika mereka berada di bawah kawalan negara yang dianggap menentang AS.

Meskipun kempen larangan terhadap TikTok yang hadir secara mendadak itu, Wall Street Journal melaporkan, eksekutif TikTok meyakinkan apabila Biden menyertai aplikasi itu bulan lalu sebagai sebahagian daripada kempennya untuk penggal kedua menjelang Pemilihan Presiden negara itu.

Ketua Pegawai Eksekutif TikTok Shou Zi Chew di Washington, cuba menghentikan kemajuan dalam rang undang-undang terbabit.

China memberi amaran pada Rabu bahawa langkah itu "tidak dapat tidak, akan kembali 'merugikan' AS."

"Walaupun AS tidak pernah menemui bukti bahawa TikTok mengancam keselamatan negara, ia tidak berhenti menindas TikTok," kata jurucakap Kementerian Luar China Wang Wenbin, yang mengutuk tindakan itu sebagai "pembulian."

Dalam pada itu, tindakan penggubal undang-undang Republik itu meluluskan rang undang-undang terbabit turut diyakini sebagai usaha menentang Donald Trump yang luar biasa.

Dalam pendirian awalnya, Trump pada Isnin berkata, beliau menentang larangan terhadap TikTok, terutama kerana ia akan mengukuhkan Meta, pemilik Instagram dan Facebook, yang beliau gelar sebagai "musuh rakyat."

Ketika Trump menjadi presiden, beliau cuba merampas kawalan Tiktok daripada ByteDance, tetapi disekat oleh mahkamah AS.

"Saya fikir ia akan 'mati' di Senat," kata wakil sekutu Trump, Nancy Mace. "Ia bukan tugas kita untuk melakukan semua ini."

Usaha lain untuk mengharamkan TikTok sebelum ini gagal dengan rang undang-undang yang dicadangkan setahun lalu tidak mendapat apa-apa keputusan kerana kebimbangan terhadap kebebasan bersuara.

Begitu juga, undang-undang negeri yang diluluskan di Montana yang melarang platform itu digantung oleh Mahkamah Persekutuan kerana disyaki ia melanggar hak kebebasan bersuara mengikut perlembagaan.

TikTok dengan tegas menafikan sebarang hubungan dengan kerajaan China dan menyusun semula syarikat itu supaya data pengguna AS kekal di negara itu dengan pengawasan bebas, kata syarikat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 12:43 AM