FOTO AFP
FOTO AFP
AFP

Washington : Seorang bintang TikTok menyindir Donald Trump dengan lagu rap sebagai protes terhadap tindakan pemimpin itu yang mahu mengharamkan aplikasi itu di Amerika Syarikat (AS).

Setakat ini, hantaran bertajuk 'Trump Freestyle' dimuat naik oleh @maya2960 semalam sudah meraih lebih sejuta tontonan dan 500,000 tanda suka sejak dimuat naik di media sosial itu.

"Tidakkah sudah memikirkan hal ini, little Donny ? Tidak seperti usahawan.

"Anda boleh mengharamkan aplikasi ini, akan ada yang baru. Akan ada bekalan apabila adanya permintaan," demikian bait lirik rap yang dinyanyikannya.

Lirik itu juga menyatakan pengguna TikTok tidak akan mengalah tanpa melawan dengan menyebut hak kebebasan bersuara mengikut perlembagaan AS.

Video lain yang menarik perhatian adalah dengan kapsyen, "Saya cuba meyakinkan Trump untuk membiarkan kita menjaga TikTok" dan menunjukkan seorang wanita mewarnakan wajahnya

berwarna jingga dan membina batu-bata.

Terdahulu, Trump dilaporkan memberi tempoh enam minggu kepada TikTok untuk menjual operasi perniagaannya di AS kepada syarikat negara itu.

Jika tidak, aplikasi video dari China itu akan dilarang untuk beroperasi di negara berkenaan.

Selain itu, Trump mahu urus niaga itu memberikan faedah kepada kerajaan AS.

Trump berkata, Microsoft kini sedang mengadakan rundingan untuk membeli operasi perniagaan TikTok di AS.

Sehubungan itu, beliau memberikan sehingga pertengahan September ini untuk pemilik TikTok, ByteDance untuk memuktamadkan urus niaga berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 4:02 PM