Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Hanya ada dua kumpulan layak menggunakan nama XPDC iaitu XPDC Kita Peng Yu dan XPDC Militia dengan kebenaran syarikat rakaman Life Records.

"Kumpulan-kumpulan lain selain daripada dua nama ini, yang tiada berkaitan langsung sebenarnya tidak layak menggunakan perkataan XPDC sebagai nama mereka,".

Demikian penjelasan pengurus XPDC Kita Peng Yu iaitu Bro Yazid mengulas berkenaan fenomena yang berlaku dan berlarutan apabila sebuah lagi kumpulan tampil menggunakan nama XPDC. 

Ia berikutan kumpulan terbabit semakin rancak mengadakan persembahan termasuk di sebuah lokasi di Melaka, esok. 

Yazid berkata, kewujudan mereka sekali gus membuatkan peminat terkeliru. Malah penganjur pula seakan buat tidak kisah apabila mengundang mereka beraksi asalkan mendapat sambutan peminat. 

"Band 'copy' pun orang nak tengok. Yang tukang anjur juga tak peduli. Mereka band XPDC palsu. Lanyak 'show' semacam saja. 

"Mereka dapat show kerana penganjur tawarkan. Dia main piang (hentam) saja. Saya anggap mereka tak tahu malu kerana anggotanya pun kita tak kenal.

"Seorang anggota XPDC pun tiada. Mereka gunakan logo sewaktu arwah Mael ikat kontrak dua tahun dengan sebuah syarikat rakaman lain. Ketika itu mereka buat produksi sendiri Real XPDC Production," katanya. 

Tambah Yazid, syarikat itu dimiliki Mael dan rakan lamanya Azmey, namun tidak membabitkan pengurusan Real XPDC sekarang. 

"Saya terpaksa bertindak membuat laporan kepada Life Records berhubung perkara ini. Tunggu mereka berbincang dengan peguam untuk tindakan selanjutnya. 

"Lagipun Pengurus Besar Life Records Malaysia, Singapura dan Indonesia, Osman Ariffin kini sibuk dengan bermacam urusan di Jakarta. 

"Untuk 'showcase' mereka esok, saya dah suruh kru-kru saya hubungi penganjur agar turunkan poster konsert terbabit," katanya. 

Terdahulu pada Oktober 2017, Osman menerusi Harian Metro mengeluarkan kenyataan membenarkan XPDC Kita Peng Yu dan XPDC Militia menggunakan nama XPDC itu untuk terbabit dengan mana-mana persembahan dan ia perlu diuruskan penganjur, bukan anggota XPDC.

"Kami juga tidak menghalang anggota kumpulan menggunakan nama XPDC, tetapi penganjur persembahan perlu menulis surat dan meminta kebenaran kami untuk menggunakan nama dan logo XPDC kerana ia milik Life Records," katanya.

XPDC Kita Peng Yu membariskan anggota asal Zuar (pemain bass) dan Amy (pemain drum) manakala anggota baru Jeff (pemain gitar) dan Ary menggantikan tempat Mael sebagai vokalis.

Sementara XPDC Militia pula menampilkan anggota asal, Izo (pemain gitar) dan Ali yang pernah bersama mereka menerusi album Samurai pada 1998 sebagai vokalis. Anggota baru ialah Eddie (pemain bass) dan Lola (pemain drum). 

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2024 @ 3:43 PM