ALBUM baru XPDC (Kita Peng Yu) tertangguh disebabkan Mael kurang sihat. FOTO Instagram XPDC (Kita Peng Yu)
ALBUM baru XPDC (Kita Peng Yu) tertangguh disebabkan Mael kurang sihat. FOTO Instagram XPDC (Kita Peng Yu)
Ridzuan Abdul Rahman


PEMAIN bass kumpulan XPDC (Kita Peng Yu) Zuar, menjelaskan pembikinan album terbaru mereka tertangguh seketika disebabkan Mael belum boleh memasukkan suara.

Zuar atau nama sebenarnya Azuar Md Tasi berkata, proses rakaman muzik album itu sudah siap sepenuhnya, namun peminat perlu menunggu lagi untuk mendapatkannya di pasaran kerana menunggu komitmen Mael atau nama sebenarnya Syed Ismail Syed Ibrahim.

“Semuanya bergantung kepada Mael. Kalau dia nak menyanyi, maka siaplah. Kalau dia tak nak menyanyi, kami tak boleh buat apalah kerana dia kurang sihat.

“Tenaganya masih belum kuat dan belum pulih sepenuhnya. Jadi, suaranya masih belum dimasukkan sampai sekarang,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, mereka juga terpaksa memberhentikan seketika rakaman album akibat masalah kesihatan Mael.

“Buat masa ini dia memang masih belum mampu. Tak tahulah pada masa akan datang dia nak nyanyi pula. Tapi untuk berjanji bila itu kami tak pasti.

“Apapun kami tunggu dia. Sekiranya dia okey, kami okey. Bagaimanapun jika masih belum okey kami tak boleh buat apa dan terserah pada dia.

“Ikutkan rakaman suara memerlukan tenaga yang kuat. Kena menyanyi berulang kali dan memang susah sikit,” katanya.

Zuar bagaimanapun mengakui Mael masih mengadakan persembahan pentas bersama mereka termasuk di Mydin Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka pada 21 Julai lalu.

“Mael masih berupaya menyanyi dengan baik. Cuma album mungkin lambat. Kami hanya tunggu Mael. Selagi kesihatannya tak okey, memang takkan buat lagi.

“Kami tak pasti sama ada ulser usus dan sakit gout yang pernah ada padanya kini berulang kembali. Tapi kami memang faham sangat perangai Mael.

“Itu sebabnya kami tak nak paksa dia. Biar dia sendiri yang mahu dan terpulang kepadanya. Kami tak paksa dan ikutkan saja,” katanya.

Mereka bakal menemui peminat menerusi Konsert Selendang Merdeka di Dataran Udang Galah, Teluk Intan, Perak pada 31 Ogos nanti.

Terdahulu XPDC cuba melakukan kelainan dalam pemasaran album terbaru mereka apabila memperkenalkan sistem tempahan awal atau pra tempahan di mana peminat perlu membayar wang terlebih dahulu sebelum memiliki album.

Mael sendiri pernah memberitahu prosesnya lambat disiapkan kerana XPDC sibuk dengan undangan persembahan, selain faktor kesihatannya yang kurang memuaskan.

Dia turut meminta peminat mempercayai kejujuran XPDC dan mereka sedia memulangkan kembali wang jika peminat berasa ragu.

Selain Zuar dan Mael, XPDC (Kita Peng Yu) turut dianggotai oleh Jeff (gitar utama) dan Amy (dram).

Sekitar 1990 sehingga awal 2000, XPDC dianggotai oleh Mael, Izo, Zuar dan Amy berjaya mencatat penjualan album terbaik sehingga melebihi 100,000 unit antaranya menerusi album Darjah Satu (1990), Timur Barat (1992), Kita Peng-Yu (1994), Brutal (1997) serta beberapa kompilasi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 7:12 PM