Kumpulan XPDC Militia. FOTO AIMAN FARHAN
Kumpulan XPDC Militia. FOTO AIMAN FARHAN
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Kumpulan XPDC Militia menyifatkan kontroversi berterusan membabitkan nama kumpulan itu sengaja 'dicipta' oleh pihak tertentu disebabkan mahu meraih publisiti murahan.

Pemain bass XPDC Militia, Eddie berkata, selagi pihak terbabit itu tidak menghentikan dan terus mencetus kontroversi demi publisiti, maka tidak mungkin akan menemui jalan penyelesaian.

"XPDC memang terpalit kontroversi tak habis-habis, jadi kita minta hentikanlah. Kepada makhluk (band) itu, kita minta dia hentikan benda ini. Dah tak ada apa dah. Tak payahlah nak 'create' kontroversi untuk publisiti murahan sebegitu.

"Tengok perbalahan ramai di media sosial, dia jadi suka macam itu sebab bila orang komen, berbalah, dia nakkan publisiti. Bagi dia, publisiti itu untuk menaikkan kumpulan (baharu) yang tak ada apa-apa ini," katanya.

Menurut Eddie, tak perlu guna nama XPDC untuk kumpulan terbabit dan cukup sekiranya dipanggil sebagai band 'tribute' saja, itu yang lebih tepat.

"Pada saya, tidak perlulah pakai nama XPDC, buat nama band 'tribute' saja, guna nama lain. Untuk kami dan peminat XPDC tahu, siapa XPDC. Jadi, kalau macam itu punya band lebih kepada band 'tribute'.

"Tapi, apa yang tak sedapnya, barisan pemuzik yang dia panggil semua adalah kawan-kawan kita, itu sebab tak 'best'. Apapun, peminat tetap boleh menilainya," katanya.

Justeru, pemain dram XPDC Militia, Lola pula mengusulkan agar band terbabit mendapatkan kebenaran daripada pihak bertanggungjawab membawa XPDC dalam industri hiburan iaitu Life Records.

"Mereka kena minta kebenaran daripada Life Records terlebih dulu. Sebagaimana kenyataan dikeluarkan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernendez sebelum ini mengenai apa yang dilalukan oleh band The Iron Maidens.

"Mereka (The Iron Maidens) yang nak memainkan semula lagu-lagu kumpulan Iron Maiden terlebih dulu meminta kebenaran secara langsung daripada band asal untuk menggunakan nama itu," katanya.

Menurut Lola, ini kerana ia adalah undang-undang yang diamalkan di seluruh dunia dan perlulah diikut.

Semalam, XPDC Militia dianggotai Eddie, Lola, Ali selaku vokalis dan Izo (gitar) ditemui hadir pada majlis pelancaran Loop Music Festival yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara.

Isu nama XPDC hangat diperkatakan baru-baru ini apabila muncul satu kumpulan baharu didakwa menggunakan nama kumpulan terkenal itu tanpa mendapatkan kebenaran daripada Life Records.

Pada Oktober 2017, Pengurus Besar Life Records Malaysia, Singapura dan Indonesia iaitu Osman Ariffin dilapor membenarkan XPDC Militia dan XPDC Kita Peng Yu saja boleh menggunakan nama XPDC.

Sehubungan itu, kumpulan XPDC Kita Peng Yu membariskan anggota asal seperti Zuar (bes) dan Amy (dram) manakala anggota baharu adalah Jeff (gitar) dan Ary menggantikan tempat Mael sebagai vokalis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 4:56 PM