HAFIDZ Roshdi keluar dari perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam. FOTO Asyraf Hamzah
HAFIDZ Roshdi keluar dari perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam. FOTO Asyraf Hamzah
Najiy Jefri


Shah Alam: Pelakon, Hafidz Roshdi, 29, menafikan dakwaan dia sudah berkahwin lain seperti yang dilaporkan isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, sebelum ini.

Hafidz berkata, surat terbuka yang dimuat naik isterinya di media sosial pada 11 Mac lalu yang mendakwa dirinya berkahwin kali kedua adalah fitnah.

"Saya masih 'single dan available'. Insya-Allah jika saya bercerai ini, saya 'single'. Saya tidak berkahwin lagi. Dakwaan kahwin kali kedua tidak betul. Itu semua fitnah belaka," katanya.

Terdahulu, menerusi kenyataan balas terhadap surat terbuka yang dimuat naik Hafidz di Instagram, Nurul Shuhada mendakwa Hafidz berkahwin tanpa izinnya.

"Saya tidak lagi boleh berdiam. Saya terasa dikhianati, semuanya berlaku tanpa pengetahuan saya. Tetapi dengan pengetahuan keluarga Hafidz iaitu membenarkan Hafidz berkahwin tanpa izin saya," katanya.

Nurul Shuhada berkata, luahan yang dimuat naik rentetan surat terbuka Hafidz itu dibuat bagi melindungi diri dan dua anak mereka.

Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini menetapkan 9 Mei depan bagi sebutan semula kes cerai Hafidz dan isterinya Shuhada berhubung isu lafaz cerai yang dibuat Hafidz, sebanyak dua kali.

Hakim Syarie Siti Rahman Hussin menetapkan tarikh itu selepas peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kadir yang mewakili Hafidz memohon satu tarikh lain bagi pihaknya menjawab tuntutan balas berhubung isu lafaz cerai itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2023 @ 1:47 PM