HAFIDZ ditemui selepas prosiding pengesahan lafaz cerai terhadap Shuhada yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
HAFIDZ ditemui selepas prosiding pengesahan lafaz cerai terhadap Shuhada yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
Ramlah Zainal

Shah Alam: Pelakon Hafidz Roshdi mendakwa Instagram (IG) miliknya sudah digodam hingga gambar dan videonya bersama dua anaknya, Humairah dan Umar, lambat dikongsikan sebelum ini.

Menurut Hafidz, ada pihak yang cuba mensensasikan isu terbabit.

"Tapi kenapa? Humairah dan Umar adalah anak-anak saya. Saya memang ada bertemu dengan mereka dua minggu lalu selepas hari raya.

"Saya tidak nampak apa masalahnya untuk saya memuat naik gambar anak-anak di IG pada bila-bila masa mengikut kelapangannya.

"Saya juga tiada sebarang strategi atau niat lain dalam hal ini," katanya kepada Harian Metro.

Hafidz ditemui selepas prosiding pengesahan lafaz cerai terhadap Shuhada yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini.

Mengenai isu pengguguran pula, kata Hafidz, dia juga tidak menuduh Shuhada membuat pengguguran terbabit dan tidak sama sekali membuat laporan palsu.

"Ianya berdasarkan apa yang telah dimaklumkan pada saya berdasarkan bukti komunikasi WhatsApp dan kemusykilan yang timbul sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Hafidz berkata, banyak yang dikongsi dalam media sosial yang memburuk-burukkannya.

"Namun demi perkembangan hidup baru yang lebih sihat, saya ingin menegaskan perkara seperti ini tidak berulang.

"Pihak kami berdiam diri tetapi tidak bermakna kami salah, malahan kami mengambil masa ini untuk bertenang tetapi saya masih terus mendapat kecaman di media sosial.

"Sekiranya saya juga menjawab dan berbalas-balas di media sosial, ianya tidak ada kesudahan dan akan menjadikan keadaan menjadi lebih keruh," katanya.

Bagaimanapun, kata Hafidz, sehingga kini dia masih jaga erat segala aib, kelemahan dan kekurangan Shuhada sebagai isteri selama ini, tetapi sekiranya masih berterusan, dia terpaksa bertindak, mengikut undang-undang.

"Setiap manusia ada kelebihan dan kekurangan masing-masing, setiap kita mesti terus berusaha memperbaiki diri.

"Ada yang menegur, ada yang mengata dan ramai juga yang menjadi pengadil. Adalah lebih baik agar semua pihak menjaga lisan berlandaskan agama dan adab, kerana kita tidak tahu apakah yang didengar atau dibaca itu betul atau salah. Jadi saya berharap agar semua menghormati privasi saya dan keluarga, demi masa depan terutama dalam mencari nafkah buat Humairah dan Umar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2023 @ 3:45 PM