Syafil Syazwan Jefri

 

Shah Alam: "Saya rasa sangat sedih atas keguguran itu."

Demikian kata pelakon, Hafidz Roshdi, 29, ketika ditanya mengenai berita mengenai isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri yang mengalami keguguran pada hari kedua Aidilfitri.

Hafidz ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Syariah di sini berkata, dia sudah membuat laporan polis untuk menyiasat perkara itu.

"Terus terang saya kata, saya sangat sedih apabila pada 5 Mei lalu, saya menerima berita Shu keguguran anak ketiga kami.

"Semuanya dalam siasatan pihak polis sebab saya dah buat laporan polis mengenai keguguran itu. Semoga semuanya dapat diselesaikan dengan baik," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya lebih lanjut mengenai laporan polis yang dibuat, Hafidz memaklumkan, dia pernah menerima mesej daripada Shuhada yang meminta izin untuk menggugurkan kandungannya.

"Saya dapat tahu mengenai kehamilannya selepas dia mesej saya. 

Dalam kiriman WhatsApp, dia beritahu saya bahawa dia nak gugurkan kandungan. Jadi, saya buat laporan polis untuk perkara itu. 

"Alasannya, panjang. Tapi, salah satunya adalah, dia nak fokus kepada hidupan baharu. Lagi satu, katanya, 'nak bela dua anak pun dah setengah mati, tambah pula kalau tiga'?.

"Tapi, tahu-tahu sahaja, dia sudah keguguran. Bila dapat tahu dia keguguran, saya terpaksa membuat laporan polis untuk siasatan lanjut," katanya.

Tambah Hafidz, dia juga sempat menghalang Shuhada daripada meneruskan hasratnya untuk menggugurkan kandungan.

"Dia ada meminta duit daripada saya untuk kos pengguguran. Saya tak tahu, sebab dia tak ada bukti resit atau hospital. Jadi, saya kena tahu mengenai itu.

"Saya tak bersetuju untuk dia gugurkan kandungan. Saya dah halang dia dan dah cakap, jangan gugurkan. Jaga baik-baik (kandungan), sebab saya akan bertanggungjawab.

"Saya halang melalui mesej di WhatsApp sewaktu dia mesej saya. Selepas berita keguguran itu, saya tak ada menghubunginya lagi," katanya.

Nurul Shuhada hadir di Mahkamah Syariah Shah Alam. FOTOGenes Gulitah
Nurul Shuhada hadir di Mahkamah Syariah Shah Alam. FOTOGenes Gulitah

Peguam Syarie yang mewakili Hafidz, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, pihaknya sudah menghantar surat kepada peguam Shuhada sebelum berita keguguran itu tular.

"Kami sudah menulis kepada peguam defendan serta merta, selepas Hafidz menerima kiriman WhatsApp daripada defendan, mengenai hasratnya untuk menggugurkan kandungan itu.

"Kami hantar surat pada 7 April dan katanya, dia tarikh untuk gugurkan pada 8 April.

"Hafidz kemudiannya membuat laporan polis pertama, mengatakan bahawa dia menerima kiriman mesej daripada isterinya itu dan dia sama sekali tidak bersetuju dengan cadangan untuk menggugurkan kandungan itu.

"Apabila dia mendapat tahu berita keguguran itu, Hafidz terperanjat dan terfikir sama ada ini kebetulan atau apa.

"Jadi, dia membuat satu lagi laporan polis, mengatakan bahawa ini satu kesalahan jenayah yang mana, melakukan keguguran dengan sengaja. Kami mahu pihak polis menyiasat," katanya.

Hafidz dan Shuhada hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam untuk menyelesaikan isu kes lafaz cerai di luar mahkamah, hari ini.

Mahkamah sudah berikan tarikh baharu pada 20 Jun untuk teruskan perbicaraan dan mahkamah akan buat keputusan mengenai lafaz cerai di luar mahkamah itu.

Shuhada dilaporkan memfailkan perceraian di mahkamah itu pada 27 Februari lalu, susulan keputusan dan persetujuan kedua-dua keluarga.

Sebelum itu, adik Shuhada yang hanya mahu dikenali sebagai Sofia, memaklumkan Hafidz bercerai talak satu terhadap kakaknya pada 22 Februari lalu menerusi panggilan telefon.

Hafidz dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016. Mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2.

Seterusnya, pada 13 Mac lalu, Hafidz didakwa dan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bahru atas pertuduhan menumbuk pipi kiri Shuhada sebanyak tiga kali di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya, Hulu Selangor.

Pelakon itu membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai Majistret.

Mengikut pertuduhan Hafidz didakwa menumbuk isterinya Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, menggunakan tangan sebanyak tiga kali sehingga mangsa mengalami luka, lebam dan bengkak di pipi kiri.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323. 

Mahkamah kemudian membenarkan Hafidz diikat jamin RM4,000 selain turut memerintahkan Hafidz dihantar ke Hospital Bahagia bagi menjalani rawatan psikiatri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2023 @ 12:49 PM