Iman Tang
Iman Tang
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: 'Maaf bukan Fazura," kata pengurus pelakon dan penyanyi jelita, Nur Fazura Sharifuddin iaitu Iman Tang berhubung spekulasi yang kini muncul serta tular di media sosial mengenai dakwaan pasangan popular potong gaji pekerja.

Iman ketika dihubungi, turut menyelar tindakan segelintir netizen yang gemar membuat perkongsian di media sosial hingga tular, namun tidak memberikan maklumat jelas yang disifatkan boleh menjadi fitnah.

"Lain kali kalau orang tu nak sibuk complain (mengadu) dan bagi info, suruh dia berani ke depan dan jangan sorok-sorok (hide) nama… boleh jadi fitnah macam ni.

"Media juga harus betul-betul kaji dulu berita macam ini, nanti akan rosak nama baik. Zaman sekarang semua orang nak jadikan benda 'viral' (tular)," katanya kepada Harian Metro.

Terbaharu, tular di media sosial mengenai perkongsian luahan seorang pekerja mendakwa, wajarkah satu syarikat yang dimiliki pasangan popular potong gaji semua pekerja sebab tak capai 'sales target' (sasaran jualan).

Turut dijelaskan dalam hantaran itu, staf tidak pernah menanda tangan sebarang surat hitam putih untuk menyatakan semua staf 'work under' (bekerja di bawah) KPI. Potong 35 peratus gaji.

Berikutan itu, difahamkan bukan hanya pasangan selebriti Aeril Zafril dan Wawa Zainal saja disebut-sebut, namun Fazura juga terkena tempias kerana kini aktif dalam perniagaan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan pelakon Aeril Zafrel bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah portal hiburan berikutan sudah menggunakan fotonya dan isteri, Wawa berserta kapsyen disifatkan fitnah kerana apa yang disiarkan adalah palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 2:53 PM