Iman dipantau oleh kakitangan JHL. FOTO ihsan JHL
Iman dipantau oleh kakitangan JHL. FOTO ihsan JHL
Norasikin Daineh


IMAN, badak sumbu Sumatera betina terakhir Malaysia yang mengalami pendarahan akibat tumor dalam rahim akan menjadi semakin lemah sekiranya tidak makan dalam kuantiti banyak.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga berkata, Iman hanya terbaring sejak 11 malam semalam sehingga 6 pagi tadi.

"Iman makan 200 gram daun pada 7.30 pagi tadi. Selain itu, ia juga minum air bersih dan air yang dicampur dengan vitamin.

“Petang pula ia makan daun sebanyak 1.5 kilogram dan minum lebih banyak air," katanya dalam kenyataan media di Kota Kinabalu, hari ini.

Augustine berkata, Iman turut diberi makanan tambahan jenis cecair sebanyak 11 liter selain diberikan antibiotik dan ubat-ubatan lain bagi mengurangkan kesakitan.

"Pendarahan masih ada dan ia berwarna merah gelap namun berkurangan berbanding semalam. Dalam masa sama, Iman tidak mengeluarkan suara.

"Penyakitnya masih serius dan ia akan lemah jika tidak makan makanan dengan kuantiti yang banyak," katanya.

Beliau berkata, Iman masih bergerak dan kadang-kadang berehat di dalam kandangnya.

“Bagaimanapun, Iman sentiasa dipantau bagi mengetahui perkembangannya setiap hari," katanya.

Iman dikesan menghidap tumor leiomyoma di rahim apabila mula mengalami pendarahan.

Iman ialah seekor daripada dua badak sumbu betina di negara ini selepas kematian Puntung akibat kanser kira-kira enam bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 9:03 PM