KEMBALI menghasilkan karya untuk televisyen selepas lima tahun meninggalkannya.
KEMBALI menghasilkan karya untuk televisyen selepas lima tahun meninggalkannya.
Ridzuan Abdul Rahman


Agak lama penonton tidak menyaksikan sentuhan Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri di televisyen kerana komitmennya dalam pengarahan filem.

Selepas lima tahun tidak berbuat demikian, Ahmad Idham, 52, tampil semula mengarahkan telefilem menarik yang berkisarkan banduan.

Telefilem inspirasi daripada kisah benar berjudul Gari Jadi Saksi terbitan Metro Productions ini mengangkat kisah bayi yang dilahirkan di sebalik tirai besi.

"Saya anggap kepercayaan diberikan mereka untuk saya arahkan telefilem ini sebagai peluang keemasan yang sukar dilepaskan.

"Tambah lagi ceritanya mempunyai pengajaran yang mendalam dan beri pengajaran buat semua. Idea menghasilkan telefilem ini datangnya dari syarikat penerbitan.

"Tapi, sebagai pengarah, saya buat penambahbaikan dan suntik idea bagi mencantikkan jalan cerita. Telefilem ini diilhamkan daripada kisah benar," katanya pada majlis Aidilfitri Yayasan Koreksional Malaysia di Kajang.

Bagi memastikan semua fakta yang dipaparkan betul, Idham mendapatkan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia yang banyak membantunya dalam penghasilan telefilem ini.

"Secara kebetulan, saya rapat dengan jabatan berkenaan, jadi kerja praproduksi lebih mudah dalam memastikan maklumat tepat terutama mengenai pengurusan banduan.

BERSAMA tenaga kerja yang terbabit dalam pembikinan telefilem Gari Jadi Saksi.
BERSAMA tenaga kerja yang terbabit dalam pembikinan telefilem Gari Jadi Saksi.

"Penggambaran Gari Jadi Saksi berlangsung pada bulan ini dan telefilem yang ditayangkan di RTM ini mengetengahkan kisah banduan wanita melahirkan anak dalam penjara, namun terpaksa melepaskan bayi kepada orang lain untuk dijaga.

"Ia berikutan beberapa sebab yang tidak boleh dielakkan terutama ketiadaan waris terdekat. Mengenai karakter pula, watak banduan wanita ini memang mencabar.

"Kami tonjolkan dalam era berbeza iaitu ketika muda dan selepas disumbat dalam penjara ketika hamil. Ia perlu bermain emosi yang sudah tentu sarat babak air mata," katanya.

Ahmad Idham berkata, peranan banduan ini membabitkan dua pelakon iaitu seorang pelakon muda dan seorang lagi bintang senior.

"Saya juga berterima kasih kepada RTM kerana meluluskan kisah dalam penjara untuk dipaparkan.

"Sudah lama saya tak buat kisah mengenai penjara, kali terakhir filem 8 Jam lakonan Shaheizy Sam, sehinggakan ramai tanya kenapa tak buat drama mengenai penjara.

"Apabila RTM sudah luluskan, itu bagi saya ruang berkarya mengenai penjara, selain cuba bantu 'merakyatkan' penjara kerana bukan macam dahulu tanggapan penjara sebagai tempat jalani hukuman," katanya.

Tambahan lagi, baginya penjara sekarang turut menjadi tempat pemulihan. Bahkan sudah ramai banduan memiliki 'ijazah' dan kembali ke pangkuan masyarakat sebagai insan bersih dan orang baru.

AHMAD Idham bersama Exco Penempatan Dan Pekerjaan, Yayasan Koreksional Malaysia, Wan Ramzan Wan Ahmad (kiri) dan Ahli Jawatankuasa Yayasan Koreksional Malaysia.
AHMAD Idham bersama Exco Penempatan Dan Pekerjaan, Yayasan Koreksional Malaysia, Wan Ramzan Wan Ahmad (kiri) dan Ahli Jawatankuasa Yayasan Koreksional Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 6:43 AM