DR Zulkifli memberi syarahan pada Program Iftar Sahabat Tirai Besi di Penjara Sg Buloh. FOTO Saifullizan Tamadi
DR Zulkifli memberi syarahan pada Program Iftar Sahabat Tirai Besi di Penjara Sg Buloh. FOTO Saifullizan Tamadi
Mohd Azam Shah Yaacob


SELEPAS sekian lama tidak menjamah hidangan lazat, nasi Arab berlauk gulai kambing dan ayam masak merah menjadi menu istimewa 32 banduan akhir serta enam tahanan Sosma dan enam tahanan reman di Penjara Sungai Buloh untuk berbuka puasa.

Mereka dijamu dalam Majlis Iftar Sahabat Tirai Besi Bersama Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di penjara itu, semalam.

Dalam majlis itu, riak ceria dapat dilihat di wajah 44 banduan berkenaan yang mendapat layanan istimewa Dr Zulkifli sendiri.

Malah, ketika azan berkumandang menandakan masuknya waktu Maghrib, ada banduan kelihatan sebak dan mengalirkan air mata.

Ini kerana buat pertama kalinya sempena kedatangan Mufti Wilayah Persekutuan itu, mereka ‘bebas’ apabila dibenarkan berjalan tanpa digari tangan sesama mereka.

BANDUAN mendirikan solat jemaah pada Program Iftar Sahabat Tirai Besi di Penjara Sungai Buloh. FOTO Saifullizan Tamadi
BANDUAN mendirikan solat jemaah pada Program Iftar Sahabat Tirai Besi di Penjara Sungai Buloh. FOTO Saifullizan Tamadi

Buat pertama kali juga, mereka diberi makanan secara berhidang bersama rombongan mufti termasuk mengerjakan solat Maghrib, Isyak serta Tarawih secara berjemaah.

Dr Zulkifli berkata, majlis berkenaan diadakan di tiga lokasi serentak di Penjara Sungai Buloh serta di Penjara Kajang dan Penjara Wanita Kajang.

Katanya, iftar itu adalah sebahagian usaha dakwah Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan selaras syariat Islam tiada diskriminasi dan banduan juga berhak disantuni.

“Saya sangat berharap penjara menjadi tempat mereka mengubah kehidupan menjadi manusia yang lebih baik berbanding sebelumnya,” katanya.

Hadir sama Pengarah Penjara Selangor Abd Kadir Rais dan Pengarah Penjara Sungai Buloh Rosoman Abu Bakar @ Che Din.

Malah, menerusi perkongsian di akaun Instagram drzulkifli.albakri, beliau menulis rasa terharunya.

BANDUAN ditemu bual wartawan pada Program Iftar Sahabat Tirai Besi di Penjara Sungai Buloh. FOTO Saifullizan Tamadi
BANDUAN ditemu bual wartawan pada Program Iftar Sahabat Tirai Besi di Penjara Sungai Buloh. FOTO Saifullizan Tamadi

“Melihat ada yang menyeka air mata saat menyuap Nasi Arab yang dihidangkan dan dilayan seperti tetamu kehormat, amat memilukan.

“Tidak ada bezanya kita dan mereka. Setiap manusia ada sejarah silamnya. Mungkin sahaja amal mereka lebih banyak berbanding kita. Hanya Allah Maha Mengetahui.”

Sementara itu, Rosoman berkata, 44 banduan berkenaan memang tidak mengetahui akan menerima layanan istimewa daripada rombongan diketuai Mufti Wilayah Persekutuan.

Katanya, disebabkan itu banduan berkenaan cukup terharu apabila diraikan bersama tanpa terasa seperti diasingkan.

“Lazimnya, banduan akhir itu akan dipakai gari di tangan sesama mereka sebaik sahaja keluar dari sel tahanan masing-masing.

“Namun, istimewa untuk majlis dihadiri Dr Zulkifli, kami mengambil keputusan tidak memakaikan gari pada tangan mereka (banduan) sebaliknya mengetatkan kawalan,” katanya.

13 tahun dipenjara, ini pertama kali pengurusan penjara tidak menggari tangan mereka. FOTO Saifullizan Tamadi
13 tahun dipenjara, ini pertama kali pengurusan penjara tidak menggari tangan mereka. FOTO Saifullizan Tamadi

Terharu diberi layanan istimewa

GEMBIRA, sedih dan terharu. Itu jawapan banduan akhir Penjara Sungai Buloh tatkala ditanya perasaan mereka apabila diraikan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, semalam.

Rata-rata mereka tidak menduga bukan sekadar dijamu juadah istimewa untuk berbuka puasa sebaliknya kerana buat pertama kali pengurusan penjara tidak menggari tangan mereka sebaik keluar dari sel tahanan.

Banduan akhir mahu dikenali sebagai Shamsul, 65, berkata, 13 tahun dipenjara, ini pertama kali mereka diberi layanan istimewa dan dapat berjumpa sendiri dengan Mufti Wilayah Persekutuan.

Dipenjara kerana terbabit kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Shamsul berkata, perasaannya bercampur baur dan sukar digambarkan.

DIJAMU juadah istimewa untuk berbuka puasa. FOTO Saifullizan Tamadi
DIJAMU juadah istimewa untuk berbuka puasa. FOTO Saifullizan Tamadi

“Tiga belas tahun dipenjara ini kali pertama majlis berbuka puasa paling menggembirakan yang saya ikuti.

“Bukan sahaja makanannya istimewa dan tidak ada dalam senarai menu penjara, sebaliknya kami dapat solat berjemaah bersama mufti dengan bebas.

“Syukur pada Allah kerana walaupun dipenjara, kami diberi nikmat serta layanan istimewa ini,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sementara itu, banduan akhir mahu dikenali sebagai Rashid, 50, berkata Ramadan kali ini terasa cukup bermakna apabila diraikan dalam majlis itu.

“Saya masuk ke sini sejak 2009 dan ini memang Ramadan paling bermakna bagi saya apabila diraikan dalam majlis begini. Alhamdulillah, syukur pada Allah.

“Malah untuk masa akan datang, kami berharap akan ada yang sudi meraikan kami berbuka puasa begini kerana ia satu-satunya cara kami dapat menikmati juadah istimewa yang sudah lama kami tidak rasai sejak dipenjara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2019 @ 10:00 AM