SEBAHAGIAN daripada penghuni Muslim Penjara Seremban yang diraikan dan disantuni ketika Program Semarak Kasih Ramadan. FOTO BERNAMA
SEBAHAGIAN daripada penghuni Muslim Penjara Seremban yang diraikan dan disantuni ketika Program Semarak Kasih Ramadan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Seremban: Penjara bukanlah tempat 'hukuman' semata-mata namun ia memberi sinar baharu kepada banduan untuk berubah menjadi insan lebih baik.

Pengalaman berada di sebalik tirai besi hampir lima tahun bukan sahaja menginsafkan malah memberi peluang kepada Ahmad (bukan nama sebenar), untuk menimba pelbagai ilmu dan kemahiran sepanjang menjalani hukuman dan pemulihan di Penjara Seremban.

Ahmad, 37, sebelum ini dikenakan hukuman penjara mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 iaitu penggunaan dadah secara berulang.

"Saya akui penjara di sini memberi kesan mendalam terhadap diri ini untuk berubah. Banyak pengalaman dan ilmu diperoleh terutamanya dalam agama selain menerima latihan dalam bidang dobi, mempelajari jenis-jenis ubatan serta terbabit dalam aktiviti tarian," katanya ketika ditemui di Penjara Seremban.

Katanya menerusi bengkel di sini, dia belajar untuk mengingati senarai ubat-ubatan penyakit kronik seperti sakit jantung dan darah tinggi, serta sakit biasa iaitu demam dan selesema selama sebulan.

Ahmad yang sudah dibebaskan semalam, berazam untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang farmasi bagi mendapatkan masa depan yang lebih baik pada masa akan datang, selain akan mencuba memohon pekerjaan di jabatan kebudayaan dalam bidang tarian atau bekerja di dobi.

Katanya, setiap manusia yang pernah melakukan kesilapan akan berharap masyarakat di luar sana dapat memberikan sokongan moral, dan mengubah persepsi negatif terhadap banduan sepertinya.

"Saya bersyukur masih berpeluang memperbetulkan kesilapan selain diberikan kesempatan untuk mengubah diri menjadi lebih baik.

"Saya berjanji untuk kuatkan iman ini dan teguhkan pendirian untuk berubah menjadi insan yang lebih berguna," katanya.

PENGHUNI bergotong-royong membantu menjayakan program Semarak Kasih Ramadan. FOTO BERNAMA
PENGHUNI bergotong-royong membantu menjayakan program Semarak Kasih Ramadan. FOTO BERNAMA

Menurut Ahmad, beliau beranggapan dirinya tidak akan diterima masyarakat susulan jenayah dilakukannya itu, namun perasaan itu berbeza apabila dia menerima layanan serta sokongan baik daripada pegawai serta staf penjara, yang membimbingnya untuk memperbaiki diri.

"Saya anak yatim piatu dan tidak mempunyai adik beradik mahupun saudara mara. Saya sedih meninggalkan rakan-rakan di sini kerana kami lalui susah senang bersama-sama dalam penjara ini," katanya sambil menambah akan menziarahi pusara ibu dan bapanya di Melaka pada 1 Syawal nanti.

Sementara itu, Pengarah Penjara Seremban, Penolong Komisioner Penjara (PKP) Ahmad Mustaqim Che Bisi berkata pihaknya mengambil pendekatan Budaya Rehabilitasi iaitu mewujudkan persekitaran pemulihan dalam kalangan banduan menerusi aktiviti atau program melibatkan masyarakat dengan jabatan penjara.

Katanya, sebagai contoh program Semarak Kasih Ramadan diadakan bagi menyantuni golongan banduan di sini sempena menyambut bulan Ramadan dengan pembabitan masyarakat sebagai rakan sekali gus memberikan sokongan moral kepada banduan agar tidak merasa tersisih dan anti-sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2022 @ 7:00 AM