Hazira Ahmad Zaidi

Machang: Seramai 25 banduan yang menjalani hukuman penjara kurang dari tempoh setahun layak diberikan Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) sekaligus memberi peluang kepada mereka untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

Pengarah Koreksional Machang, Penolong Kanan Komisioner (PKK) Mohd Nasir Yusof, berkata, kesemua mereka yang diberikan PBSL menjalani hukuman penjara atas kesalahan dadah, berusia di antara 20 hingga 60 tahun.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai lima banduan dibebaskan kepada keluarga masing-masing manakala 20 lagi kepada majikan untuk membolehkan mereka bekerja.

"Bagi banduan yang diserahkan kepada majikan untuk bekerja, mereka akan dipantau oleh Pegawai Penjara Daerah (PPD) dan tingkah laku mereka juga akan dinilai sekaligus mempengaruhi keputusan PBSL.

"Setiap banduan yang layak dibebaskan secara berlesen mengikut syarat yang ditetapkan penjara dengan menghabiskan baki hukuman di antara tempoh sebulan hingga tiga bulan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti) Sempena Aidilfitri Tahun 2023 Peringkat Pusat Koreksional Machang, di sini, hari ini.

Katanya, Jabatan Penjara kini melalui dimensi baru dalam dunia pengurusan pesalah di mana bukan hanya fokus kepada pelaksanaan hukuman semata-mata, sebaliknya berfungsi sebagai sebagai pegawai pemulihan dan bukannya pelaksana hukuman.

"Justeru PBSL ini adalah satu program yang terbaik bagi memastikan mereka (banduan) berada lebih awal dalam masyarakat selain membiasakan diri dan seterusnya diterima dalam masyarakat dan dari situ kita dapat melihat peranan komuniti dalam membantu mereka," katanya.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu seramai 607 banduan diberikan PBSL, manakala dalam tempoh Januari sehingga April tahun ini seramai 275 banduan memperoleh PBSL.

Nasir Yusof (tengah) memberi nasihat kepada salah seorang banduan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nasir Yusof (tengah) memberi nasihat kepada salah seorang banduan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2023 @ 2:49 PM