Hisyam Hamid
Hisyam Hamid
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Pelakon, Hisyam Hamid, 38, tidak ada masalah jika digandingkan dengan pelakon kontroversi, Aliff Aziz dan Ruhainies selepas ini. 

Hisyam berkata, dia tidak pernah ada masalah untuk bekerja dengan sesiapa pun. 

Katanya, apa yang berlaku membabitkan Aliff dan Ruhainies adalah isu peribadi mereka.

"Apa yang mereka lakukan di luar tiada kena-mengena dengan kerja di lokasi. Apa yang penting ia tidak menjejaskan pelakon lain dan kru di lokasi penggambaran.

"Sebagai 'public figure', saya sendiri pun masih dalam industri seni sebab peminat dan masih dapat watak hero pun sebab peminat. Kalau mereka (peminat) tak nak tengok lakonan, itu di luar bidang kuasa kita," katanya kepada Harian Metro.

Mengenai Ruhainies, kata Hisyam, dia pernah berganding dengannya dalam drama bersiri 40 episod sebelum ini.

"Dari sudut kerja, Ruhainies seorang yang profesional. Tidak pernah timbul masalah atau isu kontroversi ketika kami jayakan penggambaran sebelum ini.

"Saya kenal Aliff kerana kami pernah pergi acara yang sama tapi belum pernah berlakon sekali," katanya.

Ditanya sama ada kontroversi yang melanda Aliff itu menjejaskan karier lakonannya kerana ia membabitkan dua negara serumpun, kata Hisyam, karier seniya tidak terjejas.

"Alhamdulillah, ini tahun kesebelas saya bekerja di Malaysia. Orang yang sudah biasa sudah tahu cara saya bekerja dan tak pernah ada masalah pun.

Tapi sebab saya dari 'kampung' (Singapura) yang sama dengan Aliff, kami akan sentiasa dapat maklumat dan perkembangan isu yang hangat diperkatakan itu.

"Bila kali pertama dapat tahu kejadian itu, saya juga terkejut tapi perkara ini agak peribadi dan ini adalah ujian buat mereka," katanya.

Nama Aliff hangat diperkatakan ramai selepas dia dan Ruhainies ditangkap berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutan (Jawi) di sebuah kondominium di ibu negara, 9 Mac lalu.

Susulan kejadian itu, isteri Aliff iaitu pelakon Bella Astillah mengambil keputusan memfailkan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 13 Mac namun pelakon itu enggan menceraikannya.

Isu di antara mereka semakin rumit apabila kekasih gelap Aliff iaitu Sarah Yasmine muncul membuat pelbagai pendedahan menerusi tangkap layar perbualan WhatsApp dipercayai antara Aliff dan Ruhainies.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2024 @ 12:04 AM