Ruhainies
Ruhainies
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Susulan kontroversi panas yang mengaitkan namanya selepas ditangkap khalwat dan dakwaan mempunyai hubungan istimewa dengan penyanyi Aliff Aziz, pelakon Ruhainies memberitahu kisahnya itu tular sehingga ke China.

Ruhainies berkata, dia juga tidak menyangka apabila menerima pelbagai tawaran baharu termasuk dari luar negara.

"Benda yang jadi ternyata ada hikmah tersendiri, tipulah kalau saya cakap langsung tak terjejas bila benda ini berlaku.

"Tapi saya sentiasa percaya setiap ujian itu pasti ada hikmah dan Alhamdulillah saya banyak terima tawaran dari negara seberang.

"Saya tak boleh nak cerita lanjut sebab masih dalam proses perbincangan. Cerita ini bukan setakat viral di Malaysia, tapi sampai ke luar negara juga, ke China pun.

"Cuma saya mohon doa daripada semua agar populariti saya tak terjejas oleh kontroversi ini" katanya.

Ditanya mengenai masa depan drama Terjerat yang ditunjanginya bersama Aliff, wanita berusia 31 tahun itu menegaskan, drama terbabit tidak terjejas walaupun nama mereka panas ekoran kontroversi yang berlaku.

Katanya, mereka tetap menjalani penggambaran seperti biasa, malah penggambaran drama itu sudah selesai.

Menurutnya lagi, setakat ini tiada mana-mana tawaran kerja yang dibatalkan, sebaliknya ditangguhkan kerana kontroversi yang ketika ini menghambat dirinya.

"Saya faham dan terima kerana isu pun tengah panas tetapi setakat ini tidak ada tawaran lakonan yang dibatalkan, sebaliknya cuma ditangguhkan saja.

"Penggambaran tetap jalan macam biasa, tapi mengenai di gam mahupun disenarai hitamkan setakat ini kenyataan yang saya dapat perkara itu takkan berlaku. Jadi saya mohon doakan saya," katanya.

Kontroversi Ruhainies dan Aliff tercetus apabila mereka ditangkap khalwat di sebuah kondominium mewah di sini, Mac lalu.

Rentetan itu, isteri Aliff iaitu pelakon dan penyanyi Bella Astillah dilapor memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini, pada 11 Mac.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2024 @ 1:43 PM