Janna Nick pada majlis rumah terbuka Warner Music Malaysia di Aloft KL Sentral. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Janna Nick pada majlis rumah terbuka Warner Music Malaysia di Aloft KL Sentral. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: "Tiada niat untuk saya menyindir atau 'spill the tea' (tumpahkan teh), tidak!," tegas pelakon Janna Nick mengenai video tular dirinya mengusik Ruhainies dengan gelaran penyondol ketika temubual dalam program Famili Duo musim ketiga (FD3) lalu.

Janna atau Nurul Jannah Muner, 29, berkata, itu adalah video lama yang dikeluarkan semula dan apa yang dipapar dalam temubual berkenaan hanyalah dibuat mengikut isu semasa yang berlaku ketika itu.

"Saya dengan Ruhainies ketika itu sudah berdamai dan tiada lagi pergaduhan antara kami. Jadi, kenapa saya nak menyindir perkara yang tidak baik terhadapnya? Sebenarnya, itu hanyalah gurauan.

"Tolong jangan cuba palitkan saya dengan isu ini (kontroversi Ruhainies), sebab saya turut bersimpati dengan semua pihak. Jauh di sudut hati saya, tiada niat pun mengata orang yang sudah jatuh ditimpa tangga.

"Sebab, saya anggap ini ujian mereka. Kita pun tak nak jadikan ujian ini (yang menimpa Ruhainies) sebagai bahan jenaka kerana takut akan berbalik kepada kita," katanya kepada Harian Metro.

Pelakon drama Melastik Ke Hatimu di TV3 ini berkata, siapa dia untuk menyindir situasi dialami oleh orang lain, namun bersimpati dengan nasib dihadapi semua pihak yang kini berdepan kontroversi terbabit.

Baru-baru ini, tular video Janna mengusik Ruhainies sebagai penyondol, berikutan kini masih hangat diperkatakan mengenai insiden pelakon itu yang ditangkap khalwat bersama Aliff Aziz oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di kediamannya di sebuah kondominium mewah di ibu kota, pada 9 Mac lalu.

Terdahulu, Janna bersama suami, Dini Schatzmann ditemui media ketika hadir pada sambutan majlis rumah terbuka Warner Music Malaysia, Raikan Raya di sebuah hotel terkemuka di ibu kota, di sini, semalam.

Pada majlis itu, Janna turut menerima Anugerah Platinum Penjualan Digital single Gatal nyanyiannya yang popular hingga menarik perhatian pendengar muzik di luar negara, termasuk Mexico.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 2:03 PM