Haiza dan Paknil bersama Azzaly (dua dari kanan) dengan ibunya.
Haiza dan Paknil bersama Azzaly (dua dari kanan) dengan ibunya.
Georgie Joseph

 

Kuala Lumpur: Stesen radio Kool 101 menyantuni pendengar iaitu Azzaly di rumahnya di Pulau Pinang semalam, selepas kisah hidupnya menjentik hati penyampai Paknil, Haiza dan Muaz pada segmen Pagi On Point Extend.

Ketua Kandungan Kool 101, Ainul Farhana berkata, mereka sentiasa prihatin dalam meringankan beban pendengarnya yang memerlukan bantuan dan pada masa sama memberi inspirasi.

"Kami di Kool 101 sentiasa mencari inisiatif dengan cara kami tersendiri untuk membantu, lebih-lebih lagi bersama-sama orang yang memerlukan. Kisah Azzaly ini bukan sahaja menjentik hati kami, malah video ini tular di media sosial dan memberi inspirasi kepada orang ramai.

"Pada masa sama, kisah seperti ini dapat membuka mata anak muda lain bahawa rezeki setiap orang adalah berbeza dan datang dalam pelbagai cara. Teruslah menjaga ibu bapa kita seikhlas hati selagi mereka masih bernyawa," katanya.

Azzaly bercerita mengenai pengalamannya menjaga ibu bapanya dengan ikhlas. Walaupun sudah kehilangan bapanya, Azzaly masih dengan penuh kasih menyayangi dan menjaga ibunya sehingga sekarang. 

Kisah Azzaly bukanlah kisah biasa kerana pada orang lain, menjaga ibu bapa adalah sesuatu yang mudah. Tetapi untuk Azzaly, dia menghadapi kesukaran untuk bekerja mengikut waktu sewajarnya.

Melihat kawan-kawan lain yang sama usia mengerjakan umrah dan berkahwin, bukanlah satu hal mudah kerana dia juga ada keinginan tersendiri.

Namun, Azzaly tidak menyesali apa yang berlaku kerana baginya itu adalah rezekinya kerana tidak semua orang dapat merasakan rezeki menjaga kedua ibu bapa. 

Terdahulu, baru-baru ini Kool 101 membuka satu topik bertajuk Anak Tak Mampu Jaga Ibu Bapa untuk dibincangkan bersama-sama peminat. Mereka menerima banyak maklum balas positif daripada pemdengar dan panggilan Azzaly itu berjaya menjentik hati Paknil, Haiza dan Muaz dalam segmen berkenaan.

Susulan itu, kru Kool 101 mengambil inisiatif berjumpa dan melawat keadaan Azzaly dan keluarganya di Pulau Pinang. Ia bagi memberi sedikit buah tangan serta bantuan untuk meringankan beban yang dihadapinya.

Paknil atau Datuk Aznil Nawawi menyifatkan kisah begitu menjadi tunjang penting untuk mereka di Kool 101 menjadi stesen tersendiri.

"Satu usaha daripada Kool 101 yang mana mendekatkan peminat dengan stesen radio ini. Bagi mendapat tempat di hati peminat sedia ada dan baru, kami lebih selesa bekerja dengan cara kami sendiri, menyantuni peminat yang setia mendengar dan sudi berkongsi kisah hidup mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2024 @ 2:57 PM