Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Selepas dua tahun bersiaran menggunakan nama Buletin FM, bermula hari ini stesen radio di bawah naungan Media Prima Audio (MPA) ini bertukar nama kepada Kool 101.

Ketua Pegawai Eksekutif MPA, Nazri Noran berkata, penjenamaan semula itu adalah bersesuaian dengan situasi semasa dan ingin memacu stesen itu ke arah yang lebih santai.

"Penjenamaan ini adalah selepas kami mengambil kira pendapat serta maklum balas orang awam untuk memacu hala tuju buat stesen radio kami.

"Maklum balas yang kami terima pada tahun lalu sehingga tahun ini, kami kumpul, akur dan ubah seperti yang pendengar mahukan.

"Nama yang lebih 'catchy' disesuaikan dengan keadaan sekarang dan angka 101 juga adalah mewakili frekuensi Kool 101 di Lembah Klang," katanya.

Ditanya mengenai sama ada keputusan itu dibuat kerana formula yang digunakan dalam Buletin FM sebagai radio berita tidak berkesan, Nazri berkata, perubahan itu perlu dilakukan seiring perubahan waktu.

"Buletin FM diwujudkan ketika kita dilanda dengan pandemik Covid-19 dan maklumat diperlukan oleh orang ramai pada ketika itu mengenai situasi semasa yang berlaku.

"Jadi, kami gunakan platform radio untuk menyebarkan maklumat 24 jam sehari. Kini, tabiat masyarakat mula berubah selepas fasa pandemik dan orang sudah mula keluar. Jadi, kita kena ubah cara penyampaian fakta agar ia tidak terlalu berat," katanya.

AG (kiri), Muaz, Marsila, Haiza dan Hanic pada majlis sidang media penjenamaan semula Buletin FM ke Kool 101.FOTO Rohanis Shukri
AG (kiri), Muaz, Marsila, Haiza dan Hanic pada majlis sidang media penjenamaan semula Buletin FM ke Kool 101.FOTO Rohanis Shukri

Kool 101 juga akan terus mengangkat dan berkongsi maklumat buat usahawan tempatan antaranya menerusi program Masterclass.

"Kool 101 masih meneruskan legasi Buletin FM yang mana akan menjadi ruang untuk golongan usahawan lama dan baharu mendapatkan informasi terkini secara lebih santai.

"Kami kena sajikan sesuatu yang berbeza kerana had kami yang kecil sebagai stesen yang bersiaran di Lembah Klang sahaja," katanya.

Kool 101 membariskan empat penyampai radio sedia ada iaitu Haiza, Muaz Mohamed, Haiza Hanafi, Hanif Miswan dan Marsila Hassan.

Penyampai Buletin FM sebelum ini, Izwan Azir Salleh kini sudah tidak bersama Kool 101 selepas kontraknya tamat secara rasmi pada 2 Julai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2023 @ 12:50 PM