Program Kita Merdeka berlangsung di ibu negara
Program Kita Merdeka berlangsung di ibu negara
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Stesen radio milik Media Prima Audio (MPA) iaitu Kool 101 dan Usanita Sdn Bhd mengedarkan 10,000 Jalur Gemilang kepada pengunjung Starhill Bukit Bintang, pagi tadi, dalam program Kita Merdeka bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2023.

Program yang berlangsung di perkarangan Starhill itu dirasmikan Timbalan Pengarah Rangkaian Kumpulan (Hot FM, Kool 101 dan Digital), Shah Hayatudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Usanita, Datuk Adzliana Hasan. Menurut Adzliana, tujuan utama program Kita Merdeka adalah untuk meningkatkan kesedaran dan semangat cintakan negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang.

"Idea program ini tercetus sebaik tema sambutan Hari Kebangsaan 2023 diumumkan iaitu Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan. Jadi kami tampil dengan inisiatif  mengedarkan 10,000 Jalur Gemilang kepada pengunjung di sekitar Starhill tanpa mengira kaum, agama atau bangsa sebagai langkah kecil untuk menanam rasa kecintaan kepada negara tercinta.

"Kerjasama bersama Kool 101 sudah berlangsung sepanjang tahun ini dan pihak kami begitu teruja dengan kolaborasi ini kerana Kool 101 bukan saja membantu dalam bidang keusahawanan tetapi bertindak dalam menyampaikan dasar atau inisiatif pihak kerajaan kepada rakyat Malaysia," katanya.

Turut hadir pada program Kita Merdeka adalah penyampai segmen Pagi On Point iaitu Haiza dan Muaz yang turut sama mengedarkan Jalur Gemilang dan beramah mesra bersama peminat.

Selain mengedarkan 10,000 Jalur Gemilang, pelbagai aktiviti lain turut diadakan seperti cabutan bertuah, pemberian aiskrim Malaysia secara percuma serta aktiviti santai bersama pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2023 @ 2:27 PM