Muaz Zabir bersama ibunya.
Muaz Zabir bersama ibunya.
Norhayati Nordin

 

Kuala Lumpur : Pelakon baru sensasi, Muaz Zabir berharap dia mendapat keampunan daripada ibunya pada Aidilfitri ini selepas tersilap langkah menjalin hubungan dengan Bella Astillah untuk membuatkan suami wanita itu, Aliff Aziz cemburu.

Muaz atau nama sebenarnya Muaz Mohamad Zabir, 27, mengakui dia memang bersalah dan perlu bertanggungjawab di atas tindakannya kerana sudah membuat ibu yang juga 'syurganya' berasa marah dan kecewa.

"Sesi permohonan maaf kepada mak tercinta. Doakan saya selamat sepanjang berada di kampung.

"Kena sambung waktu raya nanti sebab marah dia tak habis lagi," katanya menerusi hantaran video dimuatnaik di Instagram.

Dalam perkongsian video itu, Muaz turut dilihat mengeluarkan sebuah televisyen daripada kotak yang dipercayai hadiah istimewa untuk 'memujuk' hati ibu tersayang.

Meninjau di ruangan komen, kebanyakan netizen meluahkan rasa simpati dan mendoakan agar urusan pelakon drama Iskandar Chempaka itu dipermudahkan oleh Yang Esa.

Malah, sekalipun cara tindakan dipilih Muaz untuk 'membantu' Bella memberi pengajaran kepada Aliff agar menghargai isterinya itu tidak bagus dan kurang sesuai, netizen sama sekali tidak menyalahkan Muaz sepenuhnya.

Pada temubualnya dalam program Melodi TV3 baru-baru ini, Muaz mengakui kesilapannya dan memohon maaf di atas apa yang sudah dia dan Bella lakukan, terutama mengambil kira status pelakon dan penyanyi wanita itu yang masih isteri orang.

"Tiada niat saya untuk memporak-perandakan rumah tangga orang. Namun, saya tidak nafikan kenyataan yang dikeluarkan oleh Bella sebelum ini bahawa kami memang pernah rapat sekitar tahun lalu.

"Tapi, perkara ini sudah pun diselesaikan dan kami juga sepakat untuk 'move on'. Sebagai rakan yang ingin membantunya, saya hanya mendengar keluhan Bella," katanya.

Terdahulu, nama Muaz menjadi perhatian di media sosial apabila seorang pengguna TikTok memuatnaik tangkap layar perbualan mesej dan foto mesranya bersama Bella.

Selepas kontroversi itu tersebar, Muaz bagaimanapun tampil membuat permohonan maaf kepada keluarganya dan juga keluarga Bella di Instagram dan turut menutup ruangan komen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2024 @ 10:27 PM