BELLA Astillah. FOTO Arkib NSTP
BELLA Astillah. FOTO Arkib NSTP
Najiy Jefri

Petaling Jaya: "Kenapa tadi lari? Kenapa tak datang sidang media?" kata penyanyi dan pelakon, Bella Astillah yang mempersoalkan tindakan heroin drama Ku Akad Kau Dengan Bismillah, Sophia AlBarakbah tidak hadir ke sidang media drama berkenaan, di sini, hari ini.

Sophia yang sepatutnya hadir di sidang media itu akhirnya tidak muncul. Ia hanya dimaklumkan wakil produksi dikenali sebagai Farid kurang 15 minit sebelum sidang media berkenaan bermula.

Menurut Farid, Sophia tidak dapat hadir akibat pertukaran jadual penggambarannya.

"Kepada yang cakap saya fitnah, saya maafkan awak. Tapi sayalah orang yang paling takut nak cakap benda yang tak betul. Kenapa saya berani bagi kenyataan sebab ia sahih," katanya.

Menerusi hantaran sama, Bella turut memuat naik tangkap layar perbualan WhatsApp bersama individu dipercayai Sophia.

Antara perbualan mereka ialah Sophia memohon maaf dan ingin memperbetulkan keadaan susulan dakwaan cubaan mengganggu suami Bella, Aliff Aziz.

Dalam masa sama, Sophia turut merayu supaya perkara itu dirahsiakan daripada pengetahuan ibu bapanya.

Dalam pada itu, Bella berkata, dia tidak bercadang untuk memberikan sebarang kenyataan lanjut, namun status yang didakwa ditulis wanita itu mengundang rasa kurang senang kepada dirinya.

"Saya tiada perancangan nak bagi apa-apa kenyataan dah, tapi bila saya tengok Sophia pun bagi kenyataan konon tak nak terbabit satu Malaysia, tapi inilah sebabnya dia tak nak masuk campur satu Malaysia," katanya.

Menurut Bella, apa yang dikongsikan itu baru sedikit.

"Ini baru 10 peratus," tulisnya.

Terdahulu dalam sidang media itu, Aliff mengesahkan wanita yang didakwa cuba mengganggu rumah tangganya dengan Bella ialah Sophia.

Dalam masa sama, Aliff turut meminta pelakon itu untuk mengeluarkan kenyataan bagi menjernihkan konflik yang berlaku.

Kontroversi tercetus selepas Bella mendedahkan seorang pelakon wanita berkali-kali membuat panggilan telefon dan menghantar pesanan kepada suaminya sehingga mengganggu keharmonian rumah tangga mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2023 @ 7:09 PM